8 maut dalam serangan bom di Pakistan 


Anggota polis Pakistan memeriksa kawasan serangan bom yang mengorbankan bekas ketua militia pro-kerajaan Idrees Khan.– Gambar EPA, 14 September, 2022.

BEKAS ketua militia pro-kerajaan antara lapan yang maut dalam serangan bom di barat laut Pakistan, kata seorang pegawai kerajaan. 

Serangan itu didakwa didalangi oleh Taliban tempatan. 

Letupan berlaku malam Selasa di bandar Kabal di lembah Swat, yang sebahagian besarnya diperintah oleh Taliban Pakistan semasa pemberontakan 2007-2009.

Sejak bertahun-tahun Islamabad menggalakkan pasukan puak yang dikenali sebagai jawatankuasa keamanan untuk mempertahankan kampung mereka daripada militan.

Kebanyakan kumpulan berkenaan telah dibubarkan sejak pemberontakan diperangi dan keselamatan dipertingkatkan di seluruh negara.

Pegawai polis daerah Swat Zahid Nawaz Marwat memberitahu AFP bahawa bekas ketua jawatankuasa keamanan, Idrees Khan terbunuh apabila trak pikapnya terkena bom di tepi jalan.

Seorang lagi pegawai polis tempatan mengesahkan jumlah kematian, termasuk dua anggota polis tempatan, dua pengawal persendirian dan tiga buruh.

Serangan itu didakwa dilakukan oleh Tehreek–e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan, yang mengatakan Khan terlibat dalam pembunuhan anggota mereka.

Kumpulan itu juga mengaku bertanggungjawab dalam pertempuran dengan tentera Pakistan yang mana tiga askar terbunuh di daerah Kurram, bersempadan dengan Afghanistan pada Selasa.

TTP mengisytiharkan gencatan senjata pada bulan Jun untuk memudahkan rundingan damai diuruskan oleh Afghanistan, tetapi pertempuran tetap berlaku walaupun kedua-dua pihak mengatakan gencatan senjata masih diteruskan.

Sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan tahun lalu Islamabad kerap mengadu berhubung serangan oleh TTP, terutamanya di sepanjang sempadan mereka.

Taliban Pakistan dan Afghanistan adalah kumpulan yang berasingan, tetapi berkongsi ideologi yang sama. – AFP, 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen