ARMENIA dan Azerbaijan melaporkan lebih 100 anggota tenteranya maut dalam pertempuran terburuk sejak perang 2020 ke atas wilayah Nagorno-Karabakh yang menjadi pertikaian dua negara berjiran itu.
Gelombang terakhir pertempuran ke atas wilayah Azerbaijan yang diduduki penduduk Armenia itu berakhir dengan gencatan senjata yang rapuh dengan Russia bertindak sebagai orang tengah.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan di Baku berkata 50 anggota tentera Azerbaijan terkorban akibat provokasi besar-besaran Armenia manakala Armenia sebelum ini melaporkan kematian sekurang-kurangnya 49 tenteranya.
Azerbaijan menuduh Armenia melanggar gencatan senjata selepas pertempuran sepanjang malam yang memperbaharui kebimbangan mengenai satu lagi konflik besar di antara dua musuh itu.
Russia berkata pihaknya berjaya mencapai keputusan supaya dilaksanakan gencatan senjata antara pihak bertelagah yang membawa kepada beberapa jam keamanan, namun Azerbaijan kemudian menuduh tentera Armenia bertindak dengan cara kekerasan sekali gus melanggar perjanjian itu.
“Walaupun pengisytiharan gencatan senjata dibuat, Armenia secara intensif melanggarnya di sepanjang sempadan dengan menggunakan artileri dan senjata berat lain,” kata tentera Baku.
Armenia merayu kepada pemimpin dunia untuk mendapatkan bantuan selepas pertempuran itu berlaku dan menuduh Azerbaijan cuba masuk ke wilayahnya.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken sementar aitu memanggil pemimpin kedua-dua negara semalam, dengan jurucakapnya berkata Washington akan mendesak untuk menghentikan serta-merta pertempuran dan penyelesaian damai antara negara jiran.
Sebelum gencatan senjata diumumkan, Majlis Keselamatan Armenia meminta bantuan ketenteraan dari Moscow, yang diwajibkan di bawah perjanjian untuk mempertahankan Armenia sekiranya berlaku pencerobohan asing. – AFP, 14 September, 2022.
Komen