Banyak lagi PM perlu buat untuk tangani banjir, kata ahli Parlimen Klang


Elill Easwaran

Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago mencadangkan supaya penduduk dimaklumkan lebih awal mengenai pusat pemindahan terdekat dan talian kecemasan supaya masalah sama tahun lepas tidak berulang tahun ini. – Gambar

MEMBINGUNGKAN apabila kerajaan Selangor dipinggirkan daripada mesyuarat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Persekutuan (JPBP), kata Charles Santiago.

Sambil memuji usaha Ismail Sabri, Ahli Parlimen Klang berkata terdapat banyak isu yang perlu dibangkitkan.

“Beliau patut diberi pujian kerana mempengerusikan mesyuarat untuk menilai tahap penyelarasan dan kesiapsiagaan pengurusan bencana di negara ini tetapi terdapat banyak isu yang menonjol.

“Beliau abaikan Selangor dan sebaliknya memberi tumpuan kepada Timur Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik Jabatan Meteorologi, Charles berkata di Klang sahaja sebanyak 62 lokaliti telah dikenal pasti berisiko terdedah banjir susulan fenomena air laut pasang besar dan monsun timur laut yang sedang berlaku bulan ini sehingga Disember.

Jabatan Meteorologi juga meramalkan purata 100mm hingga 400mm hujan di Klang untuk beberapa bulan mendatang.

Tambah Charles latihan banjir perlu dijalankan bagi memastikan penduduk tahu prosedur pemindahan kecemasan.

“Penduduk Seri Muda, Selangor tidak bersedia menghadapi banjir pada Disember kerana mereka tidak biasa dengan sistem siren amaran awal.

“Oleh itu pihak berkuasa tempatan juga perlu jalankan latihan banjir untuk memastikan penduduk tahu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pemindahan kecemasan,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Menurut Charles, penduduk perlu dimaklumkan lebih awal mengenai pusat pemindahan terdekat dan talian kecemasan.

“Isi rumah yang paling terdedah seperti mereka yang mempunyai warga emas atau orang kurang upaya juga harus dikenal pasti lebih awal supaya penyelamat tahu rumah mana yang perlu disasarkan terlebih dahulu.

Beliau juga mencadangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu disusun semula, dan perlu pertimbang untuk kerah tentera darat, tentera laut dan pasukan pertahanan sebagai sebahagian daripada pengurusan bencana.

“Kerajaan juga perlu mewujudkan skim insurans banjir untuk pendekatan yang lebih holistik terhadap mitigasi bencana, dengan mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi serta isi rumah B40 membayar premium rendah untuk perlindungan rumah dan aset mereka,” tambahnya.

Tahun lepas, hujan lebat pada 17 dan 18 Disember menyebabkan banjir besar di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan 54 terbunuh. Selangor antara negeri yang paling teruk dilanda banjir. – 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen