Perisikan AS dakwa Russia campur tangan pilihan raya negara lain


Perisikan AS dakwa Russia secara rahsia salurkan AS$300 juta kepada parti dan calon politik di lebih 24 negara sejak 2014 dalam usaha meraih pengaruh. – Gambar EPA, 14 September, 2022.

RUSSIA secara rahsia menyalurkan sekurang-kurangnya AS$300 juta kepada parti dan calon politik di lebih 24 negara sejak 2014 dalam usaha meraih pengaruh, menurut laporan penilaian perisikan yang tidak lagi dirahsiakan Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu mendedahkan nilai itu angka minimum dan Russia mungkin menyalurkan dana tambahan secara rahsia dalam kes yang tidak dikesan, kata seorang pegawai kanan pentadbiran.

“Kami fikir ini hanyalah sebilangan daripada banyak kes,” kata pegawai itu kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Dalam satu kes yang dirujuk dalam laporan penilaian itu, Perisikan AS berkata seorang duta Russia di sebuah negara Asia yang tidak dinamakan menyalurkan jutaan dolar kepada seorang calon presiden.

Penilaian itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai negara tertentu.

Namun, sumber pentadbiran yang mempunyai maklumat mengenai dapatan tersebut mendakwa Russia membelanjakan AS$500,000 untuk menyokong Parti Demokrat berhaluan tengah kanan Albania sewaktu Pilihan Raya 2017 serta parti atau calon di Bosnia, Montenegro dan Madagascar.

Laporan penilaian yang turut memetik sumber pentadbiran juga mendedahkan Russia menggunakan Brussels sebagai hab untuk menyokong calon berhaluan kanan.

Kedutaan Russia di Ecuador juga didakwa menyalurkan sejumlah besar dana dari 2014 hingga 2017 untuk campur tangan dalam pilihan raya negara itu.

Penilaian perisikan itu juga mendakwa Russia menggunakan kontrak dan syarikat rekaan di Eropah serta menyalurkan dana rahsia secara langsung kepada Amerika Tengah, Asia, Asia Barat dan Afrika Utara.

Pegawai itu berkata pentadbiran AS juga sedang membincangkan perisikan secara lebih meluas dengan lebih 100 negara sebagai sebahagian Sidang Kemuncak Demokrasi Presiden Joe Biden, satu inisiatif yang dijanjikannya dalam kempen pilihan raya 2020. – AFP, 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen