KAJIAN mendapati dua lelaki yang maut akibat cacar monyet di Amerika Syarikat (AS) mengalami keradangan otak dan saraf tunjang akibat virus itu.
Terdapat hampir 22,000 kes AS dalam wabak global semasa yang bermula pada Mei tetapi jangkitan baharu sudah menurun sejak pertengahan Ogos selepas pihak berkuasa mengedarkan ratusan ribu dos vaksin.
Kes maut terbaharu membabitkan seorang penduduk Los Angeles County yang mengalami masalah imuniti teruk dan dimasukkan ke hospital, kata jabatan kesihatan tempatan tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai kes itu.
“Orang yang mengalami gangguan imun teruk dan mengesyaki mereka menghidap cacar monyet digalakkan untuk mendapatkan rawatan awal,” kata jabatan itu.
Kematian pertama AS yang dikaitkan dengan penyakit virus itu berlaku di Texas dan diumumkan pada 30 Ogos.
Wabak global semasa itu memberi kesan kepada lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.
Dari segi sejarah virus itu disebarkan melalui sentuhan langsung, cecair badan dan udara pernafasan dan kadangkala melalui pencemaran tidak langsung melalui permukaan seperti perkongsian tempat tidur.
Tetapi menerusi wabak ini terdapat bukti awal penularan seksual juga mungkin memainkan peranan. – AFP, 13 September, 2022.
Komen