Jepun tolak ujian senjata antisatelit, kata kementerian luar


Pada awal April, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris mengumumkan keputusan untuk mengharamkan ujian senjata antisatelit AS. – Gambar EPA, 14 September, 2022.

KERAJAAN Jepun memutuskan untuk menolak ujian senjata antisatelit bagi menggalakkan perbincangan mengenai tatalaku yang bertanggungjawab di angkasa lepas, lapor Sputnik.

“Keputusan itu adalah hasil daripada pertimbangan Kerajaan Jepun selepas Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tidak akan menjalankan ujian peluru berpandu antisatelit (ASAT) yang boleh mencetuskan ancaman pada April,” kata Kementerian Luar Jepun pada Selasa dalam satu kenyataan.

Kementerian itu menekankan bahawa Tokyo mahu menggalakkan perbincangan secara aktif dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai pembangunan norma tingkah laku bertanggungjawab di angkasa lepas.

Pada masa yang sama, negara itu akan “terus memainkan peranan aktif untuk memastikan angkasa lepas yang selamat, stabil dan mampan.”

Pada awal April, Naib Presiden AS Kamala Harris mengumumkan keputusan untuk mengharamkan ujian senjata antisatelit AS semasa lawatannya ke Pangkalan Angkatan Angkasa Lepas Vandenberg di negeri California.

Pentadbir Nasa Bill Nelson menyeru negara-negara lain untuk mengenakan moratorium yang sama ke atas ujian senjata antisatelit. 

Ketika itu, bekas ketua Roscosmos (Perbadanan Ruang Angkasa Rusia) Dmitry Rogozin menyatakan pendirian pentadbiran AS tidak konsisten dan meminta respons yang lebih jelas terhadap cadangan Rusia dan China mengenai perjanjian pencegahan penempatan senjata di angkasa lepas. – Bernama, 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen