Robert Kuok setia kepada Malaysia bukannya parti politik, kata Dr Mahathir


Muzliza Mustafa Radzi Razak

Dr Mahathir juga mengatakan tuduhan terhadap Kuok adalah penghinaan kepada orang Johor, tanah kelahiran Kuok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Februari, 2018.

TUDUHAN pemimpin Umno kepada Robert Kuok adalah penghinaan kepada taikun Malaysia itu kerana beliau adalah “patriot sejati”, kata Pengerusi Pakatan Harapam.

“Kita tahu pendiriannya. Dia dilahirkan di sini, dia rakyat Malaysia. Dia cintakan Malaysia dan patriotic, bukan kepada mana-mana parti (politik). Ia adalah kenyataan menghina dibuat kepadanya,” kata bekas perdana menteri itu kepada wartawan hari ini.

Beliau mengulas serangan beberapa pemimpin Umno seperti Tajuddin Abdul Rahman dan Nazri Aziz yang menuduh Kuok sebagai tidak setia kepada Malaysia dan mahu menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

Dr Mahathir juga mengatakan tuduhan terhadap Kuok adalah penghinaan kepada orang Johor, tanah kelahiran Kuok.

“Kuok berasal dari Johor. Mereka (orang Johor sedih juga,” kata Dr Mahathir. 

Katanya lagi Kuok tidak pernah menyumbang dana kepada Barisan Nasional ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Ketika itu kita tak perlukan banyak wang. Ya kita ada terima dana tetapi ia tak banyak. Cukup-cukup untuk kita. Kuok tak pernah perlu beri kita (wang),” kata Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysa paling lama berkhidmat. Beliau dilantik pada 1980 dan berkuasa selama 22 tahun sebelum meletak jawatan pada 2003 dan menyerahkan kuasa kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menceritakan budi baik Kuok apabila beliau melawat Beijing dan tinggal di hotel milik Kuok.

“Dia sangat baik hati. Dia melayan saya baik. Dia bawa tukang masak dari Malaysia untuk masak untuk saya,” kata Dr Mahathir.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada peristiwa itu berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri atau baru-baru ini.

Kuok menjadi sasaran serangan selepas penulis blog Raja Petra Kamruddin menuduh taikun itu membiayai DAP bagi membantu mereka menakluk Putrajaya. – 27 Februari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen