Cubaan bunuh de Kirchner, suspek turut rancang bunuh presiden Argentina


Presiden Argentina Alberto Fernandez kini berhati-hati mengenai keselamatan peribadinya selepas memperoleh maklumat mengenai rancangan pembunuhannya. – Gambar EPA, 13 September, 2022.

PRESIDEN Argentina Alberto Fernandez pada Isnin mendedahkan individu di sebalik cubaan bunuh Naib Presiden Cristina Fernández de Kirchner juga berhasrat mahu membunuhnya.

Fernandez berkata demikian selepas anggota penyiasat berjaya memperoleh maklumat baharu, lapor Agensi Anadolu.

“Perbualan penjenayah itu didedahkan dan mangsa seterusnya adalah saya,” katanya, merujuk kepada dua orang suspek iaitu Fernando Sabag Montiel dan Brenda Uliarte, yang didakwa.

Menurut saluran TV Sepanyol Telecinco, anggota penyiasat percaya pasangan itu merancang untuk membunuh de Kirchner dengan pertuduhan terhadap kedua-duanya mungkin disemak semula ketika pihak berkuasa meneruskan siasatan mereka.

Fernandez berkata beliau perlu berhati-hati mengenai keselamatan peribadinya.

“Saya perlu berhati-hati sekiranya ia berlaku kepada saya, tetapi saya tidak boleh memencilkan diri daripada orang ramai,” katanya.

“Kita perlu berwaspada. Tetapi saya tidak mahu kita terpisah daripada rakyat. Itu bukan Argentina,” tambahnya, sambil melabelkan suspek “sekumpulan orang jahat.”

Fernandez berkata insiden yang dialami de Kirchner “adalah detik yang mencemaskan semua orang,” sambil menegaskan bahawa sejak negara kembali mengamalkan sistem demokrasi, jenayah politik seperti ini tidak pernah terjadi. – Bernama, 13 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen