Pertempuran skala besar berlaku di sempadan Armenia, Azerbaijan


Seorang tentera Armenia menjalankan kawalan di sempadan wilayah Nagorno-Karabakh. – Gambar EPA, 13 September, 2022.

ARMENIA dan Azerbaijan pagi tadi melaporkan pertempuran sempadan berskala besar yang menyebabkan tentera Azerbaijan terbunuh dalam pertempuran terbaru antara dua musuh ketat itu.

Terdapat laporan yang kerap mengenai insiden tembak-menembak di sepanjang sempadan yang dikongsi mereka sejak berakhirnya perang 2020 antara Yerevan dan Baku ke atas wilayah Nagorno-Karabakh yang menjadi pertikaian.

“Pada 00.05 pagi hari ini, Azerbaijan melancarkan tembakan intensif, dengan artileri dan senjata api berkaliber besar, terhadap kedudukan tentera Armenia ke arah bandar Goris, Sotk, dan Jermuk,” kata kementerian Pertahanan Armenia.

Ia berkata dalam satu kenyataan Azerbaijan juga menggunakan dron, tetapi kementerian pertahanan Azerbaijan menuduh Armenia melakukan “tindakan subversif berskala besar” berhampiran daerah Dashkesan, Kelbajar dan Lachin di sempadan, sambil menambah kedudukan tenteranya diserang termasuk daripada mortar.

“Terdapat kehilangan nyawa di kalangan anggota tentera (Azerbaijani),” katanya, tanpa memberikan angka.

Minggu lalu, Armenia menuduh Azerbaijan membunuh seorang askarnya dalam kejadian tembak-menembak di sempadan.

Pada Ogos, Azerbaijan berkata ia kehilangan seorang askar dan tentera Karabakh berkata dua daripada tenteranya terbunuh dan belasan yang lain cedera.

Kedua-dua pihak itu berperang sebanyak dua kali - pada 1990-an dan pada 2020 - berhubung wilayah Nagorno-Karabakh, wilayah Azerbaijan yang mempunyai penduduk Armenia.

Enam minggu pertempuran pada musim luruh 2020 meragut lebih 6,500 nyawa dan berakhir dengan gencatan senjata yang dianjurkan Rusia.

Di bawah perjanjian itu, Armenia menyerahkan sebahagian besar wilayah yang dikuasainya selama beberapa dekad dan Moscow mengerahkan kira-kira 2,000 pasukan pengamannya untuk mengawasi gencatan senjata yang rapuh itu.

Semasa rundingan di Brussels pada Mei dan April, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan bersetuju berbincang mengenai perjanjian damai untuk masa depan.

Pemisah etnik Armenia di Nagorno-Karabakh berpisah dari Azerbaijan apabila Kesatuan Soviet runtuh pada 1991. Konflik berikutnya meragut kira-kira 30,000 nyawa. – AFP, 13 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen