HAMPIR tujuh juta kanak-kanak di Sudan tidak bersekolah kerana krisis yang semakin teruk mengancam untuk menganggu pendidikan, kata PBB dan sebuah agensi bantuan semalam.
“Kira-kira 6.9 juta kanak-kanak di mana satu daripada tiga kanak-kanak tidak bersekolah di Sudan.
“Sebanyak 12 juta lagi berdepan masalah kekurangan guru, infrastruktur dan persekitaran pembelajaran di sekolah bagi membolehkan mereka mencapai potensi penuh,” kata agensi kanak-kanak PBB Unicef dan kumpulan bantuan Save the Children dalam satu kenyataan bersama.
Kanak-kanak di Sudan yang hidup dalam kemiskinan sudah bertahun-tahun berdepan kesukaran dalam akses pendidikan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Dalam satu kenyataan semalam mereka berkata akses kepada pendidikan dihalang oleh keadaan sosio-ekonomi yang memburukkan, konflik berulang dan penutupan sekolah semasa pandemik Covid-19.
“Apabila kanak-kanak berhenti sekolah, peluang untuk kanak-kanak kembali ke sekolah adalah rendah.
“Tanpa tindakan segera krisis pembelajaran di Sudan akan menjadi malatpetaka generasi,” katanya.
Sudan adalah salah satu negara termiskin di dunia telah bergelut dengan pergolakan yang semakin meruncing berikutan rampasan kuasa tahun lalu yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan yang mencetuskan pemotongan kepada bantuan antarabangsa yang penting.
Beratus-ratus guru di Sudan juga telah mengadakan protes dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana gaji yang rendah.
Pada Jun, PBB berkata rekod 15 juta orang di Sudan—kira-kira satu pertiga daripada penduduk—menghadapi “ketidakamanan makanan akut” dan memberi amaran bahawa keadaan mungkin menjadi lebih buruk. – AFP, 13 September, 2022.
Komen