SEORANG pegawai polis terbunuh ditembak di barat Toronto pada Isnin, kata pegawai.
Seorang lagi turut meninggal dunia, menurut media tempatan, dan sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam keganasan itu.
“Saya gerun dengan keganasan tidak masuk akal hari ini, termasuk pembunuhan seorang pegawai polis Toronto,” kata Perdana Menteri Ontario Doug Ford di Twitter.
Sejurus sebelum pukul 4.30 petang, polis mengeluarkan amaran mengenai suspek bersenjata yang melarikan diri dari pusat beli belah di Mississauga, Ontario dengan menaiki kenderaan curi.
Sejurus kemudian, polis berhampiran Milton berkata mereka telah menahan suspek berikutan satu lagi tembakan di bandar itu.
Polis di Mississauga memberitahu AFP dua orang telah ditembak, tetapi tidak mengesahkan salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia.
Polis Milton sementara itu memuat naik satu ciapan: “1 orang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan 2 yang lain telah dihantar ke hospital.”
Kanada telah digemparkan dengan beberapa insiden keganasan besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kejadian tikaman di sebuah komuniti Orang Asli Saskatchewan pada 4 September yang menyebabkan 10 maut dan 18 cedera.
Salah seorang suspek dalam kes itu ditemui mati, dipercayai dibunuh oleh abangnya, yang kemudiannya ditahan selepas diburu empat hari dan mati dalam tahanan.
Seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai anggota polis turut membunuh 22 orang di Nova Scotia pada April 2020 – termasuk seorang pegawai polis – dua tahun selepas pemandu van membunuh 11 pejalan kaki di Toronto.
Malah seorang lagi penembak membunuh enam jemaah di sebuah masjid Bandaraya Quebec pada Januari 2017. – AFP, 13 September, 2022.
Komen