Kenaikan OPR bebankan peminjam PKS, kata kumpulan perniagaan


Ravin Palanisamy

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan membebakan peminjam termasuk kumpulan PKS, kata persatuan perniagaan dan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2022.

KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pastinya akan membebankan peminjam termasuk perusahaan kecil sederhana (PKS), kata persatuan perniagaan dan pengguna.

Mereka berkata kenaikan OPR untuk kali ketiga berturut-turut dalam tempoh lima bulan hanya akan memberi kesan negatif kepada pemulihan ekonomi.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata peningkatan OPR akan menyebabkan perniagaan berdepan masalah kewangan kerana kebanyakan mereka sedang membayar pinjaman.

“Sebarang kenaikan OPR pasti akan menjejaskan PKS kerana kebanyakan mereka menggunakan pinjaman bank untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Tiba-tiba mereka perlu membayar lebih banyak bayaran balik bulanan yang pasti akan menyebabkan masalah aliran tunai,” katanya.

Dengan perniagaan baru pulih ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19, Chin berkata keputusan bank pusat untuk menaikkan kadar faedah pasti akan menjejaskan PKS.

“Memandangkan sekatan baru sahaja ditarik semula tidak lama dahulu dan PKS masih bergelut untuk kembali pulih, sebarang peningkatan dalam OPR pasti akan memberi kesan besar kepada mereka,” katanya.

Pada Selasa BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%. Ini adalah kenaikan kadar ketiga berturut-turut bank pusat itu.

Ia menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75% pada Mei. Pada Julai ia meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%.

Dalam keadaan inflasi yang berterusan peminjam perlu menanggung ansuran pinjaman bulanan yang lebih tinggi dengan kenaikan OPR.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason turut mengakui kenaikan itu hanya akan membebankan pengguna terutamanya kumpulan B40 dan M40.

Beliau berkata kenaikan itu akan menambahkan lagi hutang isi rumah rakyat kerana kos sara hidup juga meningkat.

“Rakyat menderita dan mereka terkesan dengan inflasi, peningkatan kos sara hidup dan kini kenaikan OPR sekali lagi.

“Ini (kenaikan OPR) adalah yang ketiga bagi tahun ini dan tahun ini masih belum berakhir. Mungkin ada peningkatan lagi, kita tidak tahu.

“Bagaimanakah rakyat akan menghadapinya? Ada yang sudah melakukan dua hingga tiga kerja namun ia tidak mencukupi untuk bertahan,” katanya.

Menyebut berkenaan inflasi semasa Marimuthu berkata segala-galanya termasuk kos sara hidup naik kecuali gaji.

“Harga makanan, barangan, perkhidmatan dan kebanyakan keperluan meningkat kecuali gaji.

“Kerajaan menaikkan gaji minimum tidak bermakna orang ramai boleh berdepan inflasi atau peningkatan berterusan dalam pembayaran balik pinjaman. Ini hanya memberi kesan teruk terhadap mereka,” katanya. – 13 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen