Taufan Muifa bawa hujan lebat, angin kencang ke Okinawa


JMA, mengeluarkan amaran kepada penduduk berhampiran supaya berwaspada terhadap kejadian tanah runtuh dan memantau paras air sungai. – Gambar AFP, 12 September, 2022.

AGENSI Meteorologi Jepun (JMA) pada Isnin memaklumkan Taufan Muifa yang kini melanda pulau-pulau di barat daya Okinawa Jepun membawa hujan lebat dan angin kencang.

Setakat 11 pagi waktu tempatan, Taufan Muifa dikesan pada kedudukan 30km dari selatan Pulau Ishigaki dengan kelajuan angin mencecah hingga 216km sejam, lapor Xinhua.

JMA, mengeluarkan amaran kepada penduduk berhampiran supaya berwaspada terhadap kejadian tanah runtuh dan memantau paras air sungai.

Taufan yang ke-12 melanda negara itu pada musim ini, dijangka terus melanda Kepulauan Sakishima hingga Rabu sebelum bergerak ke utara.

Sekitar 357.5 milimeter curahan hujan direkodkan di Pulau Hateruma dalam tempoh 24 jam setakat pagi Isnin.

Taufan Muifa turut menyebabkan perkhidmatan pengangkutan di wilayah ini tergendala, dengan dua syarikat penerbangan utama Jepun, Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan penerbangan ke dan dari destinasi pelancongan popular iaitu pulau Miyako dan Ishigaki. – Bernama, 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen