NIGERIA menjalinkan kerjasama rapat dengan China dalam bidang pembinaan infrastruktur, ekonomi dan perdagangan, kata Menteri Industri, Perdagangan dan Pelaburan Otunba Adebayo.
Adebayo berkata syarikat China juga dialu-alukan untuk melabur di Nigeria.
“Kami mengalu-alukan syarikat China memanfaatkan peluang pelaburan yang disediakan kerajaan Nigeria untuk membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta membina zon ekonomi khas dan taman perindustrian.
“Pelaburan itu menumpukan kepada sektor seperti pemprosesan terhadap produk seperti gula, minyak sawit dan kapas.
“China mempunyai pengalaman profesional dalam bidang itu dan boleh dijadikan contoh,” katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di Abuja baru-baru ini.
Adebayo turut menyarankan pelabur China memanfaatkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) untuk meneroka potensi pasaran di Nigeria dan negara-negara Afrika yang lain.
“Potensi pasaran di Nigeria akan memberi peluang baik kepada sektor pelaburan dan perkilangan China.
“Syarikat China dialu-alukan menjadi pengilang di Nigeria, dan menjadikan negara ini hab untuk membekalkan barangan kepada negara-negara Afrika yang lain, bahkan rantau lain di dunia,” katanya.
Mengenai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelima yang bakal berlangsung di Shanghai pada November, Adebayo berharap Nigeria berpeluang untuk mempromosi produknya kepada pengguna China.
“Nigeria mempunyai banyak produk yang bagus. CIIE memberi peluang baik untuk menjadikan produk kami popular di China. Kami berharap semua produk eksport Nigeria dapat dipamerkan di ekspo itu,” katanya. – Bernama, 13 September, 2022.
Komen