50 juta penduduk dunia terperangkap dalam 'perhambaan moden', kata PBB


Seorang daripada setiap 150 penduduk dunia kini terperangkap dalam sistem perhambaan moden, menurut laporan PBB. – Gambar EPA, 12 September, 2022.

LIMA puluh juta penduduk dunia terperangkap dalam kerja paksa atau perkahwinan paksa, kata PBB pada Isnin, memberi amaran jumlah itu meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan matlamat untuk menghapuskan semua bentuk perhambaan moden menjelang 2030, namun sebaliknya jumlah orang yang terperangkap dalam kerja paksa atau perkahwinan paksa meningkat sebanyak 10 juta antara 2016 dan 2021, menurut laporan baharu.

Kajian oleh agensi-agensi PBB untuk buruh dan migrasi bersama-sama Walk Free Foundation, mendapati pada hujung tahun lalu, 28 juta orang menjadi buruh paksa, manakala 22 juta hidup dalam perkahwinan paksa.

Ini bermakna hampir satu daripada setiap 150 orang di dunia terperangkap dalam bentuk perhambaan moden, kata laporan itu.

“Sungguh mengejutkan keadaan perhambaan moden tidak bertambah baik,” Guy Ryder, ketua Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), berkata dalam satu kenyataan.

“Tiada apa-apa yang boleh benarkan salah guna hak asasi manusia ini.”

Pandemik Covid-19, yang memburukkan keadaan dan meningkatkan tahap hutang bagi ramai pekerja, telah menambah risiko, menurut laporan itu.

Ditambah dengan kesan perubahan iklim dan konflik bersenjata, ia telah menyumbang kepada “gangguan yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada pekerjaan dan pendidikan, peningkatan dalam kemiskinan tegar dan penghijrahan paksa dan tidak selamat”, katanya.

Laporan tersebut memberi amaran yang ianya masalah jangka panjang, dengan anggaran menunjukkan perangkap kerja paksa boleh bertahan bertahun-tahun manakala perkahwinan paksa selalunya menjadi “hukuman seumur hidup”.

Wanita dan kanak-kanak adalah yang paling terdedah.

Kanak-kanak menyumbang satu daripada lima orang dalam buruh paksa, dengan lebih separuh daripada mereka terjebak dalam eksploitasi seksual secara komersial, kata laporan itu.

Sementara itu, pekerja migran lebih tiga kali berkemungkinan menjadi buruh paksa berbanding pekerja dewasa bukan migran, menurut laporan. – AFP, 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen