Najib tidak pernah saman AmBank sebab 'salah urus' akaun, kata pengurus


Ravin Palanisamy

Pengurus Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi berkata tiada laporan atau tindakan undang-undang dibuat bekas perdana menteri Najib Razak semasa beliau memegang akaun banknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak pernah memfailkan sebarang saman undang-undang terhadap AmBank kerana ‘salah urus’ akaun peribadinya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Pengurus Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi berkata tiada laporan atau tindakan undang-undang daripada Najib semasa beliau memegang akaun berkenaan.

Inilah antara jawapan saksi pendakwaan ke-37 itu apabila disoal ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram, yang mencelah pengurus bank itu untuk bertanyakan soalan mengenai kepentingan dan kebimbangan Najib terhadap akaunnya, semasa Uma membaca kenyataan saksinya.

Sri Ram: Adakah bank anda ada sistem di mana pelanggan dihantar penyata bank secara berkala?

Uma: Ya. Setiap bulan.

Sri Ram: Dalam kes tertuduh, adakah beliau pernah mengadu tentang penyata akaunnya kepada bank?

Uma: Setahu saya, dalam kes SRC pun tiada aduan.

Sri Ram: Bagaimana dengan kes ini?

Uma: Jawapannya sama.

Uma menjelaskan beliau sertai AmBank pada 2012 dan telah dipindahkan ke cawangan Jalan Raja Chulan pada 2015.

Sri Ram: Jadi, dari 2015 hingga 2018, adakah tertuduh memfailkan sebarang prosiding terhadap bank anda kerana salah urus akaunnya, setakat pengetahuan anda?

Uma: Setakat yang saya tahu, tidak ada.

Menurut kenyataan saksi Uma, Najib mempunyai lima akaun dengan AmBank.

Najib membuka dua akaun di Ambank - akaun simpanan berakhir dengan 481 - pada 18 Januari 2011, dan akaun semasa berakhir dengan 694 - pada 13 Januari 2011.

Kedua-dua akaun tersebut telah ditutup pada 30 Ogos 2013.

Tiga akaun lain, berakhir dengan 880, 906 dan 898 – dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.

Hanya pada Disember 2019, Najib memfailkan saman terhadap bank itu dan pengurus perhubungannya ketika itu Joanna Yu Ging berhubung pengurusan akaun di bawah namanya untuk mengalihkan dana daripada SRC International Sdn Bhd.

Najib juga telah menyaman Ambank Islamic Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd kerana melanggar kewajipan dan cuai dalam mengendalikan akaunnya, yang menyebabkan bekas perdana menteri itu disabitkan dalam perbicaraan SRC kerana menyalahgunakan RM42 juta.

Saman itu membabitkan akaun AmBank Najib berakhir 694, 880, 898 dan 906, yang didakwa ahli Parlimen Pekan itu diuruskan tanpa pengetahuannya.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman yang difailkan oleh Najib terhadap AmBank dan Yu.

Hakim Khadijah Idris berkata saman itu difailkan untuk menguatkan pembelaan Najib dalam perbicaraan SRC International, yang beliau agak sebagai salah guna proses mahkamah.

Malah semasa rayuan kes SRC International Najib di Mahkamah Persekutuan, pendakwa V Sithambaram berhujah bekas perdana menteri itu tidak pernah membuat sebarang pertanyaan dengan AmBank mengenai dana besar yang sentiasa dikreditkan dan didebitkan ke akaun bank peribadinya sehingga akaun ditutup pada 2015.

Najib berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Sementara itu, perbicaraan 1MDB berakhir awal hari ini bagi membolehkan Najib berjumpa doktor.

Sri Ram memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah yang beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang mengenai keadaan Najib yang ‘agak teruk’.

“Ubat tekanan darah tertuduh telah ditukar dan ia memberi kesan buruk kepadanya.

“Saya dimaklumkan keadaannya (Najib) agak teruk, tetapi beliau bersedia untuk berada di sini (perbicaraan) sehingga 12.30 tengah hari. Pada 2 petang beliau perlu dibawa ke hospital untuk berjumpa doktor,” kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan.

Perbicaraan dijangka disambung esok. – 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen