HELIKOPTER Black Hawk yang dikawal oleh Taliban selepas pengunduran Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan terhempas semasa sesi latihan pada hujung minggu, mengorbankan dua juruterbang dan seorang anak kapal, kata kementerian pertahanan.
Insiden itu berlaku pada Sabtu di kampus universiti pertahanan negara di Kabul.
Black Hawk itu terhempas kerana “masalah teknikal semasa latihan”, kata kementerian, menambah lima anak kapal turut cedera.
Apabila keluar dari negara itu tahun lepas, tentera AS meninggalkan pesawat, kenderaan, senjata dan perkakasan bernilai berbilion dolar yang kebanyakannya dikatakan tidak boleh digunakan.
Beberapa helikopter turut diterbangkan oleh bekas tentera kerajaan Afghanistan ke negara Asia tengah sebelum Taliban menguasai negara itu sepenuhnya.
Taliban telah berjaya membaiki beberapa pesawat, termasuk helikopter, yang dipercayai kini diterbangkan oleh juruterbang dari bekas tentera kerajaan.
Taliban mempamerkan pelbagai peralatan semasa perarakan tentera pada 31 Ogos ketika mereka meraikan ulang tahun pertama mereka kembali berkuasa. – AFP, 12 September, 2022.
Komen