Russia punca gangguan bekalan elektrik di timur Ukraine


Stesen elektrik Kharkiv CHPP-5 terbakar susulan dibedil tentera Russia. Ia menyebabkan timur Ukraine bergelap. – Gambar EPA, 12 September, 2022.

PRESIDEN Volodymyr Zelensky berkata Russia bertanggungjawab atas gangguan bekalan elektrik di timur Ukraine, mendakwa Moscow sengaja membedil infrastruktur awam.

Zelensky menyalahkan “pengganas Russia” apabila wilayah Kharkiv dan Donetsk bergelap sepenuhnya, termasuk beberapa bahagian turut terputus bekalan elektrik membabitkan Zaporizhzhia, Dnipropetrovsk dan Sumy.

Gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan kira-kira 9 juta populasi – termasuk wilayah yang dikawal Russia.

Ia susulan tentera Ukraine berjaya mengambil kembali berpuluh-puluh bandar dan perkampungan di timur Ukraine.

Pihak berkuasa di wilayah Sumy, Dnipropetrovsk dan Poltava tidak lama kemudian berkata bekalan elektrik kembali pulih.

Serangan Russia turut mengganggu laluan keretapi dengan perkhidmatan keretapi negara mengumumkan kelewatan di timur termasuk bandar kedua terbesar negara itu, Kharkiv.

Pegawai khas presiden Mykhaylo Podolyak berkata pusat yang terjejas ialah stesen elektrik Kharkiv CHPP-5. – AFP, 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen