PULUHAN ribu orang ramai berbaris di laluan kenderaan membawa keranda Ratu Elizabeth II semalam selepas ia meninggalkan Istana Balmoral di Scotland di mana baginda mangkat.
Keranda ditutup dengan bendera diraja Scotland dibawa dari Balmoral merentasi Aberdeen dan Dundee sebelum tiba di Edinburgh.
Jalan raya penuh dengan rakyat jelata yang ingin melihat dan memberi penghormatan terakhir kepada ratu.
Ada yang menepuk tangan, sebahagiannya kelihatan menangis dan mereka berdiam ketika keranda itu tiba di Istana Holyroodhouse, disambut kerabat diraja termasuk anak perempuan baginda, Puteri Anne.
Ratu Elizabeth II mangkat pada Khamis selepas tujuh dekad memerintah Britain, dan anak lelaki sulungnya Charles kemudian dinobatkan sebagai Raja Charles III.
Jasad baginda akan ditempatkan di Holyroodhouse – kediaman rasmi monarki di Scotland – dan pada hari ini, Raja Charles III akan mengetuai upacara menuju ke Gereja St Giles.
Keranda membawa ratu itu kemudian akan diterbangkan ke London esok sebelum majlis pengebumian pada 19 September. – AFP, 12 September, 2022.
Komen