Ribuan protes festival gay di Serbia


Kumpulan berhaluan kanan, paderi Ortodoks dan penunggang motosikal berarak di jalan raya Belgrade mengibarkan ikon dan membawa salib sebagai bantahan kepada program Europride yang akan diadakan Ahad ini. – Gambar EPA, 12 September, 2022.

RIBUAN penunjuk perasaan membuat bantahan terhadap program Europride yang akan diadakan di Belgrade pada Ahad ini, beberapa hari sebelum perhimpunan komuniti LGBTQ pan-Eropah itu dijadualkan berlangsung.

Ketegangan semakin terasa di ibu kota Serbia itu dengan penganjur perarakan itu tetap akan meneruskan program selepas kerajaan menarik balik sokongan terhadap acara berkenaan.

Semalam, kumpulan berhaluan kanan, paderi Ortodoks dan penunggang motosikal berarak di jalan raya Belgrade mengibarkan ikon dan membawa salib. Ada yang berkata akan mengadakan demonstrasi balas jika penganjur Europride meneruskan perhimpunan itu.

“Saya tidak diskriminasi mereka, tetapi sepatutnya mereka buat di rumah sajalah dan tidak menunjuk,” kata penunjuk perasaan, Djordje, 25.

Perarakan Belgrade Pride pada 2001 dan sekali lagi pada 2010 disusuli dengan keganasan dan rusuhan apabila program itu menjadi sasaran.

Sejak 2014, perarakan itu sering dianjurkan tetapi dengan kehadiran pegawai penguatkuasa yang ramai.

Bulan lalu, Presiden Serbia Aleksandar Vucic berkata Europride “ditangguhkan atau dibatalkan” berikutan beberapa sebab termasuk ketegangan antara wilayah Kosovo dan bekalan elektrik serta makanan.

Penganjur EuroPride mengecam keputusan itu, berkata kerajaan tidak ada kuasa untuk membatalkan program itu. – AFP, 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen