MASALAH kemudahan asas seperti bekalan elektrik antara perkara utama yang menyekat usaha memulihkan sektor pelancongan di pulau peranginan di Terengganu, kata pengusahanya.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight walaupun kunjungan makin menggalakkan, pelancong juga terbeban dengan cukai yang dikenakan.
Pengusaha resort Ombak Kapas di Pulau Kapas, Hawa Abd Rahman berkata kerajaan negeri sepatutnya menghapuskan cukai taman laut ke atas setiap pengunjung.
Kadar yang dikenakan itu RM5 bagi pengunjung tempatan dan RM30 untuk pelancong luar negara, katanya.
“Isu ini kita selalu dapat rungutan dari pelancong. Sebab cukai taman laut ini membebankan ketika ekonomi yang tidak begitu baik dengan isu kenaikan harga barang.
“Jadi ramai pengunjung merungut apabila mereka perlu bayar terutama yang bawa keluarga dan mereka akan bandingkan di tempat lain cukai taman laut ini tidak dikenakan.
“Sebab itu kita minta kerajaan untuk kaji dan hapuskan sahaja cukai taman laut ini,” katanya.
Mengulas masalah kemudahan asas, Hawa berkata pengusaha sepertinya dibebani isu bil elektrik solar yang terlalu tinggi dan tidak mampu ditampung sehingga bekalan dipotong.
Beliau berkata pengusaha di Pulau Kapas sepertinya terpaksa membayar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan bagi bekalan elektrik yang dibekalkan kerajaan negeri itu.
Pada masa sama beliau melihat pembangunan di Pulau Kapas jauh ketinggalan berbanding pulau peranginan lain manakala dasar kerajaan negeri tidak membantu perkembangan sektor pelancongan.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga mengenakan saman terlalu tinggi sehingga RM500 maksimum sedangkan kawasan parkir tidak mencukupi.
“Isu ini sebenarnya besar terutama ketika musim perayaan atau cuti sekolah. Apabila kurang parkir dan kemudian dikenakan saman tinggi memang orang akan kurang datang,” katanya.
Beliau berkata isu seperti itu begitu mendesak kepada pengusaha yang masih terkial-kial untuk memulihkan perniagaan mereka.
Tambahnya, biarpun sambutan diterima cukup baik namun ia masih belum dapat menampung kerugian semasa pandemik Covid-19.
“Masih jauh lagi untuk sektor pelancongan dan operasi perniagaan kita betul pulih.
“Jangkaan saya dalam tiga tahun kalau keadaan kekal begini, insya-Allah mungkin boleh tapi pada masa sama kita perlu sokongan dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” katanya.
Sektor pelancongan di Terengganu antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kini mensasarkan tiga juta kemasukan pelancong bagi 2022.
Timbalan exco pelancongan negeri Sulaiman Sulong dilaporkan sasaran itu bagi membolehkan industri pelancongan itu menyumbang RM3 bilion untuk ekonomi Terengganu.
Sulaiman berkata sasaran itu realistik walaupun jumlah itu jauh berkurangan berbanding kedatangan pelancong sebanyak RM5.2 juta yang menjana RM6 bilion pada 2019.
Di Pulau Perhentian, pengusahanya juga terbeban dengan catuan elektrik dan menagih janji perdana menteri untuk menyalurkan bekalan 24 jam di pulau itu dari sumber tenaga hijau.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian Rafizah Munir berkata mereka telah lama memperjuangkan isu itu dan berharap ia bukan satu janji kosong semata-mata.
“Memang kita berharap sangat projek itu dapat dilaksanakan,kita amat menyokong usaha seperti itu.
“Sebab isu ini sangat lama kita perjuangkan berpuluh-puluh tahun, tapi tak tahu lah kenapa kerajaan negeri tak dapat beri sebelum ini,” katanya.
Pengusaha resort Herera itu berkata beliau terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM200,000 bagi setiap musim sehingga November bagi kuasa elektrik dari generator.
“RM200,000 itu tak masuk kos penyelenggaraan, pekerja tapi ini untuk enjin kecil saja.
“Penyelenggaraan terlalu tinggi, belum lagi kos minyak lagi dah naik, dan kos (kesan) untuk alam sekitar lagi memang tak baguslah,” katanya. – 12 September, 2022.
Komen