OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor, Perak sejak petang tadi, dihentikan sementara malam ini.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada jam 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.
Beliau berkata, bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes itu, sebuah bilik gerakan operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.
“Helikopter diterbangkan pada jam 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.
“Kami menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi pusat kawalan tempat kejadian akan didirikan pagi esok di kawasan pencarian.
“Setakat ini kami tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan ‘narrow down’ kawasan pencarian esok,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor, kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam ini.
Katanya, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terbabit dan tiada penumpang menaiki helikopter itu.
Difahamkan, juruterbang itu bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dimiliki seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada sidang media hari ini dilaporkan berkata, pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira jam 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.
Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi. – Bernama, 11 September, 2022.
Komen