UKRAINE pada Ahad memaklumkan operasi di loji tenaga nuklear terbesar Eropah dihentikan sepenuhnya.
Reaktor terakhir loji Zaporizhzhia diputuskan daripada grid kuasa pada jam 3.41 pagi (0041GMT), lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan pengendali kuasa atom Ukraine, Energoatom.
Loji di bawah kawalan Russia sejak Mac itu terputus daripada grid kuasa pada Isnin lalu, susulan kebimbangan semakin meningkat mengenai bencana nuklear ketika Moscow dan Kyiv saling tuduh-menuduh terhadap serangan ke atas kemudahan itu.
Energoatom memaklumkan bekalan elektrik dipulihkan pada Sabtu bagi membolehkan pegawai “menutup unit kuasa No 6 dan menukarkannya kepada keadaan paling selamat - penutupan.”
Agensi itu memberi amaran risiko kerosakan dan bekalan kuasa terputus untuk berulang “tetap tinggi.”
Dalam senario sedemikian, loji itu perlu “menggunakan kuasa diesel, dengan sumber terhad,” menurut kenyataan itu.
Zaporizhzhia, antara 10 loji tenaga nuklear terbesar di dunia, menjana 20% tenaga elektrik Ukraine sebelum krisis.
Sepasukan pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) diketuai Rafael Grossi memeriksa kemudahan itu minggu lalu.
Semasa memberi taklimat mengenai laporan berkaitan keadaan loji berkenaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Grossi berkata kerosakan akibat serangan ke atas kemudahan itu “sama sekali tidak boleh diterima,” memberi amaran ia seperti “bermain dengan api” dan boleh membawa kepada “malapetaka.”
Kenyataan Energoatom juga menyeru Russia untuk mengundurkan tenteranya dari kawasan itu dan “mewujudkan zon bebas tentera.” – Bernama, 11 September, 2022.
Komen