KTMB tingkat kualiti perkhidmatan, penuhi permintaan pengguna


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam usaha memperbaiki kemudahan infrastruktur yang ada di Lembah Klang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Mohd Rani Hisham Shamsudin.

Beliau berkata, cabaran yang dihadapi KTMB adalah membaiki trek lama di sepanjang stesen Rawang hingga ke Kuala Lumpur yang masih menggunakan trek tunggal.

“Kami sedia maklum trek tunggal akan menjejaskan ketetapan masa dan waktu perjalanan termasuk faktor usia tren dan limitasi bilangan keretapi,” katanya pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KTMB dan Pengarah Urusan The Treasure @ Taman Herba Eidia Erriany Abdul Rahim di Gopeng, Perak hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersama kementerian terbabit akan mempercepatkan projek menaik taraf kemudahan KTMB di Lembah Klang seperti yang dirancang agar dapat melaksanakan pembinaan rel kereta api berkembar.

“Ini termasuk usaha membaik pulih kereta api lama secepat mungkin agar ia boleh digunakan selain membeli kereta api baharu yang membabitkan kementerian lain,” tegasnya.

Menurutnya, KTMB sentiasa mendengar rungutan orang ramai berkenaan isu kekurangan koc tempat duduk dan kehabisan tiket baru-baru ini sempena cuti umum sambutan Hari Kebangsaan yang bersambung dengan cuti persekolahan.

“Dua minggu lalu, saya ambil maklum akibat kehabisan tiket kereta api bagi semua perjalanan maka KTMB akan mengumumkan pertambahan jumlah koc pada setiap perjalanan bagi memenuhi peningkatan permintaan tiket.

“Kami tidak menambah jadual perjalanan namun akan menambah jumlah tempat duduk sebagai contoh tren yang mempunyai enam koc ditambah lagi menjadi 12 koc,” katanya.

MoU itu bagi memperkasakan industri ekopelancongan di Perak termasuk cadangan kerjasama melalui pakej ‘rail tourism’ untuk mempromosikan stesen Batu Gajah sebagai transit ke The Treasure @ Taman Herba dan lokasi menarik di sekitarnya.

Kerjasama itu juga dijangka dapat memperkenalkan lebih banyak lokasi baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. – Bernama, 11 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen