PERDANA Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis mengumumkan 21 langkah untuk mengurangkan kesan inflasi yang melambung tinggi dan krisis tenaga ke atas isi rumah negara selain turut menyasarkan pertumbuhan.
Semasa ucapan dasar ekonomi tahunannya dari Pameran Antarabangsa Thessaloniki (TIF) ke-86, yang merupakan acara pameran terbesar di Greece, Mitsotakis berjanji untuk memberikan subsidi 250-euro (dolar) kepada 2.3 juta rakyat yang terkesan pada bulan Disember dan meningkatkan elaun perumahan pelajar daripada 1,000 euro kepada 1,500 euro.
Beliau juga berjanji untuk meningkatkan subsidi bahan api pemanasan kepada 300 juta euro, melebarkan kriteria untuk memasukkan 1.3 juta lagi isi rumah dan mengumumkan campur tangan khas untuk mengurangkan kos minyak, serta memberi petani kira-kira 140 juta euro sebagai subsidi kecemasan.
“Kami meneruskan langkah tetap, yang akan berkuat kuasa mulai Januari. Dengan cara ini, jaringan keselamatan dibangunkan untuk masyarakat dan asas diletakkan untuk masa depan yang lebih baik,” kata Mitsotakis.
Greece telah mengumumkan kira-kira 8 bilion euro dalam subsidi tenaga sejak tahun lepas.
Mitsotakis turut mengumumkan kenaikan pencen dan gaji minimum serta menurunkan VAT dalam beberapa sektor, menjadikan jumlah kos pemberian terkini pada 5.5 bilion euro.
Kenaikan harga berkaitan tenaga telah mencetuskan inflasi tertinggi Greece dalam tiga dekad.
Inflasi kekal dalam dua digit untuk bulan kelima berturut-turut, susut kepada 11.4 peratus pada Ogos berbanding 11.6 pada Julai, menurut data Pihak Berkuasa Statistik Hellenic (ELSTAT) yang diumumkan Jumaat. – AFP, 11 September, 2022.
Komen