Charles III dimahkotakan raja baharu Britain


Majlis mengangkat Charles III sebagai raja baharu Britain buat pertama kali ditayangkan di televisyen, dibuat sebagai formaliti sejak ratusan tahun untuk iktiraf kedaulatan raja baharu. – Gambar EPA, 10 September, 2022.

CHARLES III secara rasmi diisytiharkan sebagai raja baharu Britain oleh Majlis Naik Takhta pada Sabtu dalam upacara penuh sejarah selepas kematian bondanya Ratu Elizabeth II.

Majlis itu, yang pertama kali disiarkan di televisyen, merupakan formaliti sejak berabad-abad lamanya untuk mengiktiraf kedaulatan raja baharu walaupun baginda secara automatik menjadi raja selepas pemergian ratu.

Charles, 73, secara rasmi melafazkan ikrarnya sebagai raja baharu, bertitah yang baginda “sangat sedar” tentang “tugas dan tanggungjawab berat kedaulatan”.

Ratusan ahli majlis tertutup termasuk perdana menteri terkini Liz Truss dan semua pendahulunya yang masih hidup, isteri Charles Camilla dan anak sulungnya serta pewaris William semuanya hadir.

Charles bertitah bondanya, yang mangkat pada Khamis di Balmoral pada usia 96 tahun, “memberi contoh kasih sayang sepanjang hayat dan perkhidmatan tidak berbelah bahagi” yang dijanjikannya untuk dicontohi.

“Beta faham bahawa beta akan dijunjung oleh kasih sayang dan kesetiaan orang ramai,” titah baginda.

Baginda turut bertitah “disokong isteri tercinta”.

Diadakan di dalam sebuah bilik besar di Istana St James yang dihiasi dengan warna merah lembayung dan emas, Majlis Naik Takhta berlangsung dalam dua bahagian, yang pertama di mana Charles tidak hadir semasa mereka mengisytiharkannya sebagai raja.

Kerani majlis mengumumkan “Putera Charles Philip Arthur George, berikutan kemangkatan puan ratu kita, kini menjadi Raja Charles III kita… Tuhan selamatkan raja!”

Ahli majlis yang berhimpun kemudian mengulangi “Tuhan selamatkan raja”.

Naik takhta Charles akan diumumkan secara terbuka dari balkoni istana pada pukul 1000 GMT. – AFP, 10 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen