BANK Pelaburan Eropah (EIB) membuka pejabat perwakilan serantau Asia Tenggara dan Pasifiknya di Jakarta, Indonesia untuk mempercepatkan sokongan kewangan bagi pelaburan berimpak tinggi.
Menurut bank itu, keutamaan pembiayaan adalah untuk projek Asia Tenggara bernilai €2.6 bilion dalam bidang seperti tindakan iklim, pengangkutan bandar, penjagaan kesihatan, keselamatan tenaga dan projek mampan.
“Di Indonesia sahaja kami bersedia untuk melabur sehingga €1 bilion untuk projek setiap tahun,” kata Naib Presiden EIB Kris Peeters, yang bertanggungjawab ke atas operasi bank di Asia Tenggara dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, EIB sudah melabur €625 juta dalam sektor tenaga, pengangkutan bandar, tindakan iklim, infrastruktur luar bandar, pembangunan bandar dan projek pengangkutan di Indonesia, Kemboja, Laos, Vietnam dan Filipina.
Pejabat EIB Jakarta mematuhi keputusan pemegang saham EIB - 27 negara anggota Kesatuan Eropah - untuk mengukuhkan penyertaaan bank itu di arena antarabangsa. – Bernama, 10 September, 2022.
Komen