Menteri luar Jerman buat lawatan mengejut ke Kyiv


Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock berkata lawatan mengejutnya ke Kyiv untuk menunjukkan sokongan Berlin terhadap Ukraine yang bertempur dengan Rusia. – Gambar EPA, 10 September, 2022.

MENTERI Luar Jerman Annalena Baerbock tiba di Kyiv pada Sabtu dalam lawatan mengejut, yang katanya untuk menunjukkan Berlin menyokong Ukraine dalam pertempurannya dengan Rusia.

Ia merupakan lawatan kedua beliau ke Ukraine dan muncul seminggu selepas lawatan Perdana Menteri Ukraine Denys Shmygal ke Berlin di mana beliau telah mengulangi seruan Kyiv untuk menambah senjata.

“Saya ke Kyiv hari ini untuk tunjuk yang mereka boleh terus bergantung kepada kita, dan kita akan terus berdiri di sisi Ukraine selama yang diperlukan dengan penghantaran senjata, dan dengan sokongan kemanusiaan dan kewangan,” kata Baerbock dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa minggu lepas, Jerman telah menghantar howitzer, pelancar roket dan peluru berpandu antipesawat ke Kyiv.

Senjata yang lebih berat seperti sistem antipesawat, pelancar roket yang dipasang pada pikap dan peralatan antidron juga akan diberikan dalam pakej bantuan ketenteraan selanjutnya bernilai lebih 500 juta euro.

Awal minggu ini, Berlin berkata ia juga akan bekerjasama dengan Belanda untuk melatih askar Ukraine.

Baerbock berkata “jelas sekali (Presiden Rusia Vladimir) Putin berharap kita penat bersimpati dengan penderitaan di Ukraine”.

“Beliau fikir beliau boleh pecahbelahkan masyarakat kita dengan pembohongan dan memeras ugut kita dengan penghantaran tenaga.

“Perkiraan ini tidak akan berkesan. Kerana seluruh Eropah tahu Ukraine mempertahankan keamanan kita,” katanya.

Baerbock tokoh kanan kerajaan Jerman pertama yang melawat Kyiv pada Mei, apabila beliau mengumumkan pembukaan semula kedutaan Jerman di negara itu. – AFP, 10 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen