5 maut bot langgar ikan paus di New Zealand


Bot dengan 11 orang itu terbalik sebelum meragut 5 nyawa selepas dilaporkan berlanggar dengan seekor ikan paus di perairan tenang di Goose Bay, kira-kira 15 kilometer selatan Kaikoura, New Zealand. – Gambar EPA, 10 September, 2022.

LIMA orang maut selepas sebuah bot terbalik di perairan South Island di New Zealand pada Sabtu, dengan “petunjuk” kapal itu terbalik selepas berlanggar dengan seekor ikan paus.

Bot dengan 11 orang  itu terbalik di perairan yang tenang sekitar 10 pagi di Goose Bay, kira-kira 15 kilometer selatan Kaikoura, menurut pegawai tempatan.

Operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam ditamatkan apabila skuad penyelam polis menemui lima mayat dari dalam kapal tersebut.

Enam orang yang telah diselamatkan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Laporan media menyebut tekong bot itu terselamat.

Terdahulu, imej di media sosial menunjukkan mangsa yang terselamat melambai meminta bantuan pada lambung bot sepanjang 8.5 meter yang terbalik, yang disahkan polis milik perniagaan sewa tempatan.

Datuk Bandar Kaikoura Craig Mackle memberitahu AFP terdapat “petunjuk” bot itu berlanggar dengan seekor ikan paus, namun polis tidak mengulas mengenai kemungkinan itu kerana masih dalam siasatan.

“Maklumat yang kami ada pada masa ini nampaknya adalah satu perlanggaran. Dengan apa, kami tidak tahu pada peringkat ini,” kata Sarjan Polis Kaikoura Matt Boyce pada sidang media.

“Ini peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang melibatkan tindak balas yang ketara daripada perkhidmatan kecemasan dan orang ramai.”

Mackle bingung bagaimana bot itu terbalik dalam keadaan “sempurna”, mengesahkan ketika ini musim ikan paus berleluasa di luar pantai Kaikoura.

“Ikan paus bongkok datang pada masa ini dan kami mempunyai ikan paus yang bermastautin.”

Kaikoura merupakan tarikan pelancong yang popular kerana hidupan liarnya yang banyak selain menawarkan pengalaman menonton ikan paus.

“Ini peristiwa tragis yang menjejaskan banyak nyawa, tidak terkecuali, keluarga dan orang tersayang,” kata Mackle.

“Ucapan takziah kami tujukan kepada mereka.” – AFP, 10 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen