AS$349 bilion untuk bina semula Ukraine, kata laporan


Bangunan yang rosak teruk akibat perang di bandar Irpin di Kyiv, Ukraine. – Gambar EPA, 10 September, 2022.

PEMBINAAN semula Ukraine akibat kemusnahan ekoran pencerobohan Rusia dianggarkan menelan belanja AS$349 bilion, menurut laporan yang dikeluarkan semalam. 

Hasil penilaian kerajaan Ukraine bersama Suruhanjaya Eropah dan Bank Dunia mendapati anggaran itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang selagi perang belum tamat.

Kerosakan infrastruktur akibat perang itu sahaja berjumlah AS97 bilion, kata laporan tersebut.

“Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menyebabkan kemusnahan teruk, daripada angka kematian yang sangat tinggi dan berjuta orang yang hilang tempat tinggal, sehinggalah ekonomi,” kata Naib Presiden Serantau Asia Tengah dan Pasifik Bank Dunia, Anna Bjerde.

Laporan itu juga menyebut, sebanyak AS$105 bilion akan diperlukan dalam tempoh 36 bulan akan datang untuk kegunaan kecemasan seperti memulihkan infrastruktur pendidikan dan kesihatan, persediaan menghadapi musim sejuk, bantuan pertanian dan pengangkutan.

Sementara itu, Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal dalam kenyataan berkata kerja-kerja pembinaan semula telah pun bermula di beberapa wilayah namun masih memerlukan bantuan antarabangsa.

Setakat ini negara G7 dan Kesatuan Eropah telah menyumbang As$39 bilion kepada Ukraine. – AFP, 10 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen