PKS letak harapan tinggi Bajet 2023


Khoo Gek San Angie Tan

Kerajaan diharap akan memberi pelepasan cukai bagi membolehkan industri melatih pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2022.

KOMUNITI Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pengilang menaruh harapan yang tinggi terhadap insentif dan bantuan yang bakal diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023.

Mereka yang ditemu bual The Malaysian Insight mengharapkan lebih banyak insentif untuk automasi dan digitalisasi, juga cukai korporat yang berdaya saing dengan negara jiran.

Kerajaan turut diharap akan memberi pelepasan cukai bagi membolehkan industri melatih pekerja bagi melahirkan tenaga kerja terlatih.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata kerajaan perlu terus menyokong penyelidikan dan pembangunan, automasi dan digitaliasasi, pembangunan tenaga mahir, serta pertumbuhan hijau dan kemampanan.

FMM selain itu mahu kerajaan terus menyediakan Elaun Pelaburan Semula (RA) bagi membantu pengeluar meningkatkan daya saing dan produktiviti melalui produktiviti yang berterusan, pengembangan dan kepelbagaian bagi membantu PKS menangani impak pandemik Covid-19.

“(Kerajaan boleh pertimbang) rejim cukai yang kompetetif dengan beransur-ansur turunkan cukai kepada 20%, penurunan cukai korporat ke atas PKS antara 13% atau 15% untuk tempoh dua tahun akan datang atau mempertimbangkan kadar cukai korporat rata 17% ke atas PKS.

“Putrajaya juga boleh mengurangkan kadar cukai korporat antara 1% hingga 5% ke atas syarikat yang mampu menyetempatkan kandungan sekurang-kurangnya 30%, mengurangkan kadar cukai pendapatan individu secara beransur-ansur bagi meningkatkan pendapatan boleh guna individu, serta penstrukturan semula supaya individu tidak dikenakan kadar cukai tinggi dalam tempoh singkat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Soh berkata Program Jalinan Kerjasama Industri (ILP) FMM juga boleh membantu PKS mengembangkan kapasiti mereka untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dan meluaskan pasaran dengan menyediakan pembiayaan serta bantuan kepada PKS.

Beliau selain itu menggesa kerajaan memberi pelepasan cukai berganda ke atas perbelanjaan logistik.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia Soh Thian Lai. – Gambar Facebook, 10 September, 2022.

Berkenaan automasi dan digitalisasi pula, Soh berharap kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai baharu sehingga RM5 juta untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) dan robotik.

Begitu juga sokongan untuk ekonomi digital dan aplikasi e-dagang; alat pemasaran dalam talian seperti sistem analitik dan penjejakan pesanan; integrasi khidmat penghantaran; sistem ERP dan lain-lain yang menyokong aktiviti e-dagang dengan membenarkan pengecualian cukai sehingga RM100,000 bagi setiap syarikat – boleh dipertimbang dan dimasukkan dalam intipati Bajet 2023, katanya.

FMM merancang untuk membina hab keselamatan makanan bersepadu di Pahang bagi memastikan kemampanan bekalan makanan negara serta mewujudkan peluang ekonomi.

Subsidi upah

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata kerajaan harus terus menggalakkan majikan menggaji pekerja baharu.

Ding memberitahu The Malaysian Insight, program subsidi upah tiga hingga enam bulan perlu dimasukkan dalam intipati Bajet 2023, serta dana untuk usahawan B40 dan faedah untuk pekerja ekonomi gig.

“Kami mencadangkan sekurang-kurangnya 50,000 usahawan baharu perlu diberi latihan dengan peruntukan RM10,000 seorang.

“(Ini bagi membolehkan) pemahiran semula graduan dalam pasaran buruh. Juga terdapat keperluan untuk memperuntukkan lebih banyak pembiayaan khusus untuk usahawan belia dan wanita,” katanya.

Ding seterusnya berkata kerajaan juga perlu mengkaji semula kadar cukai pendapatan individu dan syarikat, serta mengurangkan kadar cukai secara beransur-ansur untuk bersaing dengan negara jiran dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI). 

Persatuan PKS selain itu berharap kerajaan akan mengekalkan kadar semasa surcaj atau mengurangkan tarif elektrik dan bahan api pada 2023.

Bagi sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, Ding berkata pengecualian cukai pelancongan perlu dilanjutkan sehingga tahun depan. – 10 September, 2022. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen