KERAJAAN Thailand dan rakyatnya hari ini merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Pemangku Perdana Menteri Prawit Wongsuwan mewakili pihak Kerajaan Thailand dan rakyat, menzahirkan ucapan takziah kepada Perdana Menteri United Kingdom (UK) Liz Truss.
Prawit, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata keprihatinan dan dedikasi baginda terhadap rakyat UK dan masyarakat global sepanjang 70 tahun menduduki takhta amat dipuji dan dikagumi serta akan senantiasa dikenang.
“Lawatan baginda ke Thailand pada 1972 dan 1996 detik yang sentiasa diingati. Ingatan dan doa kami sentiasa bersama-sama Kerajaan UK dan rakyat Britain,” katanya.
Terdahulu, Prawit menandatangani buku takziah di Kedutaan Britain di Bangkok.
Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Thailand baginda telah melaksanakan tanggungjawabnya demi manfaat rakyat Britain, UK, Komanwel dan menjalin hubungan yang rapat dengan Kerajaan Thailand.
“Kami turut berdukacita bersama rakyat Britain dan masyarakat antarabangsa atas kemangkatan baginda,” menurut kenyataan itu
Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam berkata bendera Thailand di semua bangunan kerajaan akan dikibarkan separuh tiang pada hari ini, Isnin dan Selasa.
Sementara itu, Kedutaan British di Bangkok memaklumkan orang ramai berpeluang untuk menandatangani buku takziah di kedutaan pada Isnin (12 Sept), Rabu (14 Sept) dan Jumaat (16 Sept) dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Selain itu, orang ramai juga boleh menandatangani buku takziah secara maya di https://www.royal.uk
Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland semalam. – Bernama, 9 September, 2022.
Komen