Pengusaha restoran arah pekerja terus pakai pelitup muka


Ravin Palanisamy

Pengusaha restoran memilih untuk mengekalkan pemakaian pelitup muka di kalangan pekerja bagi mengelak penularan Covid-19 di premis mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 September, 2022.

PEKERJA restoran akan diminta untuk terus menggunakan pelitup muka semasa bertugas buat masa ini walaupun kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sekatan, kata persatuan restoran.

Walaupun mereka mengalu-alukan keputusan baharu Kementerian Kesihatan, pengusaha restoran berkata tujuan utama mereka adalah untuk mencegah penularan Covid-19 di premis dan di kalangan pekerja.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Abdul Mukthahir M Ibrahim berkata mereka akan menasihati ahli untuk memastikan pekerja terus menggunakan pelitup muka.

Beliau menambah restoran sudah pun terjejas dengan kekurangan pekerja yang teruk, kerana restoran tidak akan sanggup menutup operasi untuk tempoh yang lama jika berlaku penularan di premis mereka.

“Kami akan meminta pekerja untuk terus menggunakan pelitup muka kerana selain mengambil pesanan dan menghidangkan makanan, mereka juga berkomunikasi dengan pelanggan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ini bagi memastikan tiada penularan di restoran.

“Dengan kekurangan pekerja di kebanyakan restoran, kami tidak mampu untuk menutup perniagaan (jika ada jangkitan).

“Jadi, lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga sendiri,” tambahnya.

Mukthahir, pemilik Restoran Salam Sentosa, turut berkata penggunaan pelitup muka dalam kalangan pekerja bukan sahaja untuk mencegah penularan virus Covid-19 tetapi juga untuk menjaga kebersihan di tempat kerja kerana ia melibatkan makanan.

“Selain memastikan penyakit tidak merebak, pelitup muka juga akan menjamin kebersihan.

“Jadi, kami akan menasihati ahli untuk memastikan pekerja tetap memakai pelitup muka.

“Di restoran, saya masih meminta pekerja menggunakan pelitup muka, tidak pasti bagaimana ahli lain akan menerimanya (nasihat),” katanya.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemakaian pelitup muka di tempat tertutup kini tidak diwajibkan dan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata pemilik premis masih boleh memutuskan sama ada pengunjung perlu memakai pelitup muka atau tidak.

Bagaimanapun, Khairy berkata pelitup muka tetap perlu dipakai di hospital, pengangkutan awam dan pusat penjagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) J Suresh turut mengulangi pandangan Mukthahir mengenai penggunaan pelitup muka untuk pekerja.

Beliau bagaimanapun berkata ia bergantung kepada restoran jika mahu melaksanakan penggunaan pelitup muka dalam kalangan pekerja mereka.

“Sebenarnya kami memberitahu ahli - jika boleh benarkan pekerja terus memakai pelitup muka.

“Ini juga untuk memastikan keselamatan makanan dan untuk tujuan kebersihan. Jadi, ia bergantung kepada restoran,” katanya.

Suresh berkata sebagai badan utama restoran India, persatuan itu akan menasihatkan ahlinya untuk terus meminta pekerja memakai pelitup muka.

Suresh, pemilik Jaya Catering & Restaurants, berkata mereka akan menasihati ahli meletakkan papan tanda untuk menyatakan penggunaan pelitup muka bagi pelanggan adalah pilihan.

“Kami akan meletakkan papan tanda di restoran kami yang pelitup muka adalah pilihan.

“Tetapi jika orang ramai terus menggunakannya, ia lebih baik,” katanya.

Restoran tidak mengenakan syarat mengimbas kod QR dan semakan status kesihatan pelanggan dalam aplikasi MySejahtera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2022.

Tidak perlu imbas MySejahtera

Sejak 1 Mei, Malaysia menarik balik mandat pelitup muka di kawasan terbuka ketika ia terus beralih ke fasa endemik hidup dengan virus.

Juga bermula tempoh yang sama, imbasan MySejahtera tidak lagi diwajibkan.

Kedua-dua persatuan restoran itu berkata mereka tidak akan mengenakan keperluan mengimbas kod QR dan menyemak status kesihatan pelanggan dalam aplikasi MySejahtera.

Mukthahir berkata rakyat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri serta orang lain.

“Jika tahu mereka tidak sihat atau mengalami simptom, maka mereka hanya perlu tinggal di rumah dan tidak menyebarkan virus dengan pergi ke restoran.

“Mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab,” katanya.

Naib presiden Presma itu juga berkata orang ramai perlu sentiasa dididik mengenai perkara itu walaupun terdapat pelbagai kelonggaran.

Beliau berkata kerajaan perlu terus membuat pengumuman mengenai keperluan melaporkan kes positif Covid-19 dan mendidik orang ramai mengenai cara untuk kekal selamat jika mereka mempunyai simptom virus itu.

Suresh turut mengakui keperluan orang ramai mempunyai rasa tanggungjawab serta mengambil kira orang lain ketika membuat keputusan makan di restoran.

“Mereka bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri tetapi juga orang lain dengan menyebarkan virus itu,” katanya.

Suresh juga berkata memandangkan Malaysia sedang beralih ke endemisiti, mereka tidak boleh terlalu tegas dengan peraturan, melainkan dinyatakan oleh kerajaan sebagai perlu dan wajib.

“Ia sudah sampai ke satu tahap di mana kita perlu kembali kepada kehidupan normal.

“Jika tidak, kita tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Tetapi memandangkan kita masih merekodkan ribuan kes baharu, orang ramai harus memastikan mereka sentiasa mematuhi langkah keselamatan,” katanya. – 10 September, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen