DIA baru 16 tahun ketika menjadikan seorang juruwang sebagai tebusan di sebuah pasar raya besar di pekan kecil di utara Malaysia.
Namun, itu bukan satu rompakan, atau pun remaja itu mahu jadi penjenayah untuk dapatkan wang dengan cepat.
Remaja itu menerima arahan menerusi telefon bimbit dan dia melaksanakannya sebagai tanda “patuh” terhadap rakan yang baru dikenalinya secara online. Baginya, mereka adalah wira, idolanya.
Dia ditangkap oleh polis yang menemui bahan IS dalam simpanannya. Ia termasuk sebuah buku, dua jubah, kopiah, serban, dua keratan akhbar mengenai kumpulan pengganas IS, sebilah pisau dan pistol mainan di dalam beg sandangnya.
Remaja itu kini direkodkan sebagai anggota IS termuda di Malaysia.
Idham, (bukan nama sebenar kerana polis minta identitinya dirahsiakan), kini berusia 18 tahun, sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani pemulihan. Dia masih di bawah pemantauan polis.
The Malaysian Insight bertemu dengannya dan bapanya di rumah mereka baru-baru ini. Berbaju kemeja lengan panjang warna hijau dan seluar hitam, remaja berkaca mata itu duduk di hujung sofa, memegang tangannya.
Bapanya, seorang penjawat awam menjelaskan bahawa Idham masih trauma dengan segala yang berlaku dan tidak mahu masuk ke mana-mana pasar raya besar lagi walaupun insiden itu berlaku dua tahun lepas.
Bertemu “idola” menerusi online
Bapanya berkata Idham seorang yang pendiam, sering berkurung di dalam biliknya, sama ada membaca buku mengenai perang dan adiwira, atau bermain permainan komputer.
Dia mula berminat dengan IS apabila membaca tentang bagaimana kumpulan pengganas itu dapat merampas Raqqa di Syria.
Dari situ, dia mula mencari lebih banyak maklumat tentang kumpulan itu menerusi online dan media sosial. Dia menonton video dan dapat berkenalan dengan beberapa anggota IS rakyat Malaysia di Syria.
“Saya berkawan dengan beberapa daripada mereka. Saya tidak ingat lagi nama mereka sekarang. Tetapi mereka berkongsi gambar peperangan dengan saya, bersama pejuang yang membawa bendera hitam,” kata Idham, menambah pada masa itu dia mahu menjadi sebahagian daripada semua itu.
Idham berkata perbualan mereka berlaku beberapa bulan tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Bercakap tentang hari dia melakukan serangan di pasar raya itu, Idham berkata: “Saya dapat rasa dia takut tetapi saya masih acu pisau kepadanya.
“Mereka (IS) suruh saya buat. Mereka malah suruh saya telefon polis. Saya tidak tahu untuk apa. Saya buat saja tanpa tanya apa-apa,” katanya.
Idham ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Pada sidang akhbar 2016, polis berkata Idham kena “brainwashed” supaya mengikut ideologi IS menerusi emel dan media sosial, dan membuktikan bahawa dia mampu melaksanakan tindakan seperti itu.

Idham ditahan kurang setahun di penjara di mana dia menjalani pemulihan. Sebagai juvana dan menjalani hukuman kerana kesalahan berkaitan keganasan, dia diasingkan daripada penjenayah lain.
Dia juga menduduki peperiksaan SPM di penjara tahun lalu dan kini sedang menunggu keputusan, dijangka keluar bulan depan.
Sejak dibebaskan dua bulan lalu, ibu bapanya menjadi lebih rapat dengannya, berharap supaya dia meluahkan kebimbangannya kepada mereka.
Idham mangsa mudah
Profail Idham menepati ciri-ciri mereka yang mudah terpedaya untuk menyertai organisasi ekstremis, kata pakar keganasan Ahmad El-Muhammady.
Ahmad berkata ekstremis agama yang ditahan di Malaysia kerana terbabit dalam IS adalah seseorang yang sunyi dan naif, datang daripada keluarga berpecah belah dan mempunyai keinginan tulen untuk mempertahankan agama mereka.
Katanya, mereka dengan ciri itu menjadi “mangsa mudah” kepada organisasi ekstremis, menambah bahawa hampir semua daripada 50 suspek pengganas, berusia antara 16 dan 50 tahun, yang pada masa ini sedang menjalani pemulihan, didapati tidak stabil secara emosi dan psikologi.
Kebanyakannya kurang pengetahuan agama, atau pengetahuan mereka terhadap Islam tidak tepat dan disalah tafsir.
Ahmad berkata kebanyakannya mempunyai ciri itu walaupun ada juga anggota yang tidak menepati “jenis” itu, tetapi mereka terbabit dalam aktiviti militan.
Bapa salahkan diri atas pembabitan anak
Bapa Idham menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku kepada anaknya. Katanya, Idham, anak ketiga daripada empat beradik pasti tidak akan terbabit dengan IS jika dia sendiri tidak memberikan telefon bimbit kepada anak lelakinya itu.
“Saya sepatutnya tunggu hingga dia tingkatan lima, sama seperti adik beradik yang lain, sebelum saya beri dia telefon bimbit.
“Tetapi pada masa itu saya kasihan padanya sebab dia tidak berkawan dan saya fikir dia boleh gunakan gajet itu. Tidak pernah saya tahu bahawa ia akan membawanya seperti sekarang,” kata bapa itu.
Katanya, selepas Idham dibebaskan dia cuba mendaftarkannya ke sekolah agama tetapi sukar kerana dia tidak dapat menerima pembelajaran dan sekarang dia belajar bersama tutor agama secara persendirian.
“Saya juga beri dia telefon bimbit baru. Telefon biasa saja, yang asas. Dia tidak boleh lagi ada akses kepada Facebook atau apa juga media sosial. Saya pastikan semua itu,” katanya. – 28 Februari, 2018.
Komen