KEBAKARAN hutan di pinggir Los Angeles merebak dua kali ganda besarnya dalam tempoh kurang 24 jam, kata pasukan bomba ketika mereka masih bergelut memadamkan api dalam cuaca panas melampau di barat Amerika Syarikat (AS).
Ribuan penduduk dipindahkan ketika api Fairview merebak, yang kini menular ke kawasan seluas 19,000 ekar.
“Api aktif berlaku di timur, selatan dan utara kawasan terbabit,” kata bomba.
“Api akan aktif dengan pergerakan awal ke timur. Kemarau akan menyebabkan api lebih mudah marak dengan tambahan angina dan cuaca panas.”
Dua individu maut dalam kebakaran pada Isnin ketika suhu mencecah 43 darjah selsius di kebanyakan bahagian di California, Nevada dan Arizona.
Cuaca panas memberi tekanan kepada grid elektrik California berikutan isi rumah memasang penghawa dingin hampir sepanjang masa.
Ini menyebabkan orang ramai digesa berjimat bekalan elektrik bagi mengelak berlakunya gangguan, dengan pesanan turut dihantar ke telefon bimbit masing-masing. – AFP, 9 September, 2022.
Komen