PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyampaikan ucapan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
“Kami amat berdukacita atas kemangkatan Ratu Elizabeth II. Baginda adalah jiwa United Kingdom,” tulis Lee dalam kemas kini terbarunya di Facebook.
Lee berkata pemerintahan baginda menyaksikan satu tempoh keamanan dan kemakmuran terpanjang dalam sejarah United Kingdom (UK).
“Sepanjang hayatnya, baginda tabah berkhidmat untuk UK dan Komanwel. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh setia dan tulus ikhlas.
“Sumbangan baginda kepada UK, Komanwel, dan dunia akan terpahat dalam lipatan sejarah, dan baginda akan sentiasa diikenang sebagai seorang pemimpin dunia yang hebat,” tulis Lee.
Menurut Lee, baginda meninggalkan kesan penting dalam sejarah Singapura dan “hubungan rapat kami yang telah lama terjalin dengan UK.”
Seluruh rakyat di Singapura berdukacita atas kemangkatan baginda, kata Lee.
“Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya mengucapkan takziah kepada Raja Charles III dan semua kerabat diraja, Perdana Menteri Liz Truss, dan rakyat Britain,” tulisnya.
Lee turut memuat naik foto beliau bersama Ratu Elizabeth II, dengan kapsyen: “Saya berbesar hati dapat bertemu dengan baginda beberapa kali, yang terbaru pada 2018 semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di London.”
Raja paling lama berkhidmat di Britain, Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun, umum Istana Buckingham pada Khamis.
Sementara itu, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri sebagai tanda penghormatan, bendera Negara di semua bangunan kerajaan Singapura akan dikibarkan separuh tiang pada hari pengebumian.
“Parlimen akan bertafakur selama seminit sebelum memulakan sidang pada Isnin, 12 Sept 2022,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 9 September, 2022.
Komen