Elok bubarkan saja pasukan jihad tangani inflasi, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy

Gesaan tersebut dilontarkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng susulan BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50% bagi mengurangkan tekanan inflasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2022.

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Annuar Musa tidak berkesan serta tidak cekap dalam usaha membendung kenaikan harga barang, dan eloklah dibubarkan sahaja, kata Lim Guan Eng.

Gesaan tersebut dilontarkan pengerusi DAP itu susulan Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50% bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Bekas menteri kewangan itu berkata tindakan BNM menaikkan OPR untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini secara tidak langsung menolak dakwaan Annuar selaku pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan adalah terkawal.

“Inflasi dilihat oleh BNM sebagai masih cukup serius untuk mewajarkan kenaikan OPR walaupun terdapat risiko yang wujud dalam mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan usaha pemulihan Covid-19 bagi separuh kedua tahun ini dan meningkatkan kos pinjaman untuk individu dan perniagaan.

“Menaikkan OPR bererti menafikan secara menyeluruh dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan semakin terkawal, sebagai slogan politik semata-mata yang tidak berasas.

“BNM secara tidak langsung mengenepikan usaha antiinflasi Annuar sebagai tidak memberi sebarang kesan dengan indeks harga pengguna meningkat sebanyak 4.4% pada Julai berbanding 3.4% pada Jun 2022, bulan pertama Annuar dilantik sebagai pengerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%, kenaikan ketiga berturut-turut dalam tahun ini.

Bank pusat itu menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75% pada Mei. 

Pada Julai, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.25%.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan seterusnya berkata, oleh kerana BNM kini bergantung kepada pendekatan monetari dengan menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi, jadi tiada keperluan lagi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dikekalkan.

Tambahnya, jawatankuasa khas Kabinet seperti pasukan yang diketuai Annuar itu sebaiknya hanya akan berperanan sekiranya dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri.

Jun lalu Perdana Menteri Ismail Sabri menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Selain Annuar, pasukan khas itu juga dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali. – 9 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen