Hidup pelarian tambah sukar tanpa UNHCR, kata aktivis


Elill Easwaran

Cadangan MKN untuk menutup operasi pejabat UNHCR akan menyebabkan pelarian terus dieksploitasi, malah menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, kata aktivis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2022.

KEHIDUPAN pelarian di Malaysia akan lebih sukar jika Putrajaya menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini, kata aktivis.

Langkah itu akan menyebabkan pelarian terus dieksploitasi walaupun kerajaan berpandangan ia bertujuan untuk menambah baik pengurusan golongan berkenaan, tambah mereka.

Menurut aktivis ini lagi tindakan kerajaan itu sekali gus akan menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Bekas pengerusi Alliance Of Chin Refugees, James Bawi Thang Bi memberitahu The Malaysia Insight nasib pelarian yang bergelut untuk meneruskan kehidupan di negara ini akan lebih sukar andai kerajaan meneruskan rancangannya untuk menutup pejabat UNHCR.

“Jumlah kanak-kanak pelarian di sini cukup ramai, jadi dimana kita hendak tempatkan mereka dan pihak mana yang akan menyokong mereka seperti UNHCR?

“Kerajaan tidak benarkan kanak-kanak ini mendapat pendidikan. Dengan adanya inisiatif UNHCR lah sekolah komuniti dapat dibina untuk mereka,” katanya.

Bekas pengerusi Alliance Of Chin Refugees, James Bawi Thang Bi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2022.

Selasa lalu Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad dilapor berkata majlis itu sedang meneliti cadangan untuk menutup operasi pejabat UNHCR di negara ini untuk mengurus pelarian tanpa campur tangan asing.

Rodzi bagaimanapun berkata MKN perlu memperkukuhkan mekanisme yang dirancang dan memastikan pelaksanaan yang mantap dan teratur sebelum ia disyorkan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, James berkata rancangan MKN itu akan menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Lebih buruk lagi sudah pasti akan mengancam nyawa pelarian. Saya percaya rakyat Malaysia pun tidak mahu perkara ini berlaku,” ujarnya.

Henti campur tangan dengan UNHCR

Sementara itu, Presiden Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata UNHCR diberi mandat antarabangsa untuk melindungi pelarian.

“Mereka harus dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

“Ancaman untuk menutup pejabat UNHCR ini timbul dari masa ke semasa. Pasukan Petugas Bersama Malaysia-UNHCR telah mengadakan pertemuan dengan badan PBB yang turut disertai wakil dari pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, termasuk MKN.

“Dan fokus perbincangan tertumpu kepada usaha untuk terus bergerak ke depan dan mengukuhkan kerjasama, menurut laporan media.

“Tetapi baru-baru ini ketua pengarah MKN pula keluarkan kenyataan mencadangkan supaya pejabat UNHCR ditutup. Ini sudah tentu tidak masuk akal, melainkan ia bertujuan politik menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi,” kata Mahi.

Tambahnya, Malaysia mempunyai kewajipan untuk melindungi pencari suaka dan pelarian di negara ini.

“Negara kita menperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa tetapi pada masa yang sama hendak tutup pejabat UNHCR? Adakah menteri kita teliti dulu keputusan ini sebelum keluarkan kenyataan?” soalnya. 

Xenofobia, sentimen perkauman

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira pula berkata cadangan MKN itu berbaur perkauman dan xenofobia, iaitu  perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing.

“Kita boleh simpulakn bahawa cadangan MKN itu bukan berdasarkan bukti tetapi atas sentimen xenofobia dan perkauman.

“MKN mungkin terlupa pelarian dan pencari suaka datang ke Malaysia bukan kerana suka-suka, tetapi kerana peperangan dan konflik politik di negara mereka,” jelasnya. – 9 September, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen