Putera Charles kini dinobatkan Raja Charles ke-3


Gambar fail menunjukkan Raja Charles III diraikan orang ramai ketika lawatannya ke Southend, timur England pada 1 Mac, 2022. – Gambar AFP, 9 September, 2022.

PUTERA sulung daripada empat empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles III hari ini susulan kemangkatan bondanya.

Pegawai Istana Buckingham London mengesahkan Putera Charles, 73, dinobatkan sebagai Raja berkuatkuasa serta-merta iaitu Raja pertama dengan gelaran itu menduduki takhta sejak 1685.

Ratu Elizabeth II, iaitu monarki Britain paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu mangkat pada usia 96 tahun, semalam.

Raja Charles dalam ucapan pertamanya menyifatkan kemangkatan Ratu Elizabeth sebagai saat paling sedih bagi baginda dan seluruh ahli keluarganya.

“Kami berkabung atas pemergian seorang ratu yang dihormati dan ibu yang amat disayangi.

“Saya pasti pemergiannya akan amat dirasai di seluruh negara, dunia, Komanwel dan semua individu,” titahnya melalui kenyataan yang ditandatangani “Duli Yang Maha Mulia”.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan 6.30 petang semalam waktu tempatan memaklumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.

“Raja (Charles) dan Permaisuri (Camilla) akan berada di Balmoral dan pulang ke London esok,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pemimpin di seluruh dunia memberi penghormatan dengan menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian baginda yang memerintah selama 70 tahun.

Perdana Menteri Britain baharu Liz Truss yang baru tiga hari lalu mengangkat sumpah jawatan, turut meratapi pemergian baginda.

“Tuhan selamatkan Raja,” katanya, di mana ucapan tidak diungkapkan di Britain sejak 1952.

Selain itu, ratusan bunga dan lilin dinyalakan membanjiri pintu pagar Istana Buckingham sebagai tanda penghormatan rakyat negara itu terhadap pemergian baginda. – AFP, 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen