SEORANG lelaki membunuh sekurang-kurangnya empat mangsa dan menyebabkan tiga yang lain cedera dalam insiden tembakan rambang di sekitar Memphis, sebelum dikejar polis dan ditahan, kata polis.
Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Ezekiel Kelly, 19, dan berkata ketika ditahan suspek mempunyai dua senjata api di dalam kenderaannya.
“Suspek ditahan polis Memphis,” kata ketua polis Cerelyn Davis pada sidang media.
Suspek dipercayai membunuh mangsa pertamanya selepas tengah malam Rabu dan melakukan tembakan rambang di sekitar kawasan Tennessee pada tengah hari dan awal petang, kata Davis.
Sebanyak lapan lokasi kejadian dikesan, kata polis termasuk di mana suspek mencuri kereta dan menembak ke arah kedai runcit dengan sebahagiannya dilakukan serentak dengan striming secara langsung.
“Ezekiel Kelly melakukan strim langsung di Facebook ketika melepaskan tembakan di dalam sebuah kedai,” kata Davis.
Pihak berkuasa mengeluarkan arahan tidak keluar rumah ketika insiden tembakan itu sedang berlaku, dan menutup sebahagian kawasan di bandar itu. – AFP, 9 September, 2022.
Komen