Manchester United rebah di Old Trafford


Pemain Manchester United bertafakur seminit selepas pengumuman kemangkatan Ratu Elizabeth II di Old Trafford. – Gambar AFP, 9 September, 2022.

MANCHESTER United mengetuai bola sepak England memberi penghormatan terhadap Ratu Elizabeth II sebelum tewas 1-0 di tangan Real Sociedad dalam aksi Liga Europa.

Pemain United, West Ham dan Arsenal – kelab Liga Perdana yang beraksi dalam kejohanan kedua Eropah itu – semuanya memakai lilitan hitam di lengan selepas pengumuman kemangkatan Ratu pada usia 96 tahun awal pagi tadi.

Suasana suram menyelubungi Old Trafford dan Stadium London dengan United dan West Ham masing-masing bertafakur seminit sebelum sepak mula.

Penyokong West Ham menyanyikan “God save the Queen” ketika kemenangan 3-1 berdepan kelab Romania, FCSB dalam Liga Conference Eropah.

Pengurus United Erik Ten Hag menggambarkan penyerang Brazil, Antony sebagai “penyambung yang hilang” buat United selepas menjaringkan gol pada penampilan pertama berdepan Arsenal selepas berpindah dari Ajax.

Namun pemain berusia 22 tahun itu bergelut untuk memberikan impak dalam persembahan kurang bertenaga United.

Cristiano Ronaldo membuat penampilan kedua dalam kesebelasan utama United musim ini manakala pemain tengah Brazil, Casemiro diberikan permulaan pertama sejak tiba dari Real Madrid.

Tiada antara mereka dapat mencetuskan kebangkitan buat United, yang menyaksikan tandukan pada minit ke-35 oleh Ronaldo dibatalkan kerana ofsaid.

Sociedad meraih kemenangan pada minit ke-59 apabila pertahanan United, Lisandro Martinez dihukum kerana memegang bola.

Bola berkenaan terkena tangan Martinez selepas melantun dari lutut dan VAR mengesahkannya.

Brais Mendez meledak dari sepakan penalti untuk menewaskan David De Gea.

Selepas menang empat kali berturut-turut dalam aksi Liga Perdana, United tewas buat kali ketiga di baeah pimpinan Ten Hag. – AFP, 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen