14 maut, 26 hilang bot karam di Brazil


Sebuah bot penumpang karam di pantai utara Brazil, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh dengan 26 yang lain masih hilang. – Gambar AFP, 9 September, 2022.

SEBUAH bot penumpang karam di pantai utara Brazil, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh dengan 26 yang lain masih hilang, kata pihak berkuasa.

Media tempatan menunjukkan imej penyelamat menggunakan kayak untuk membawa mangsa ke tepi pantai berhampiran Belem, ibu negeri Para, dan mayat diatur dengan berbungkus di situ.

Pemilik bot yang beroperasi secara haram itu masih meneruskan operasinya walapun salah satu botnya turut ditahan baru-baru ini, kata Gabenor Para Helder Barbalho.

“Ini kapal haram. Pemiliknya sudah dimaklumkan tiga kali oleh pihak berkuasa dan tentera laut supaya jangan beroperasi tanpa lesen. Operasi bot itu digantung tetapi pemiliknya tetap meneruskan operasi.

“Kami mengerah operasi mencari dan menyelamat, cuba mengesan mangsa yang terselamat,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan keras terhadap pihak bertanggungjawab atas tragedi itu.

Seramai 70 individu berada di dalam bot itu, dengan 30 dapat diselamatkan, kata pihak berkuasa.

“Bot itu tidak diberikan kebenaran untuk membawa penumpang antara bandar dan mereka berlepas dari pelabuhan rahsia di Camara, iaitu kawasan penempatan di Marajo Bay, katanya.

Helikopter polis dan 11 bot penyelamat serta penyelam dikerah bagi membantu operasi menyelamat itu. – AFP, 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen