Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun


Potret Ratu Elizabeth II dipamerkan di Piccadilly Circus di tengah London selepas pengumuman kemangkatan bagida semalam. – Gambar AFP, 9 September, 2022.

RATU Elizabeth II monarki Britain yang paling lama memegang takhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun.

Istana Buckingham dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.

Seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.

“Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta.

Putera sulung baginda, Putera Charles, 73, bakal menaiki takhta sebagai Raja, sekali gus melakar sejarah sebagai pewaris takhta paling tua dalam sejarah Britain.

Terdahulu, ahli kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang keadaan kesihatan baginda dinasihatkan terus dipantau.

Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap masalah mobility berulang sejak hujung tahun lalu.

Kenyataan istana turut menyatakan Putera Charles selaku putera sulung baginda dan pewaris takhta, dan isteri, Camilla berangkat ke Istana Balmoral.

Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral, di tanah tinggi Scotland.

Turut serta ialah

Menyertai mereka ialah dua anak Charles iaitu Putera William dan Putera Harry.

Ratu Elizabeth dua hari lalu menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain Liz Truss dan baginda dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.

Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari, 952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari, 1952.

Baginda mewarisi takhta United Kingdom sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan presiden Amerika Syarikat (AS) Dwight D Eisenhower.

Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.

Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja.

Namun, sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai ratu yang popular di United Kingdom dan turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Baginda juga ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.

Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.

Lagu kebangsaan “God Save the Queen” dimainkan, bendera dikibarkan separuh tiang dan loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai “Monarki Global Terakhir”.

Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.

Upacara Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama pada tarikh yang belum ditetapkan.

Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor satu-satunya monarki yang dikenali majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling. – AFP, 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen