Protes pencen dihenti, lelaki 102 tahun berarak macam pengantin


Duli Chand diarak bagai pengantin untuk mengumumkan kepada kerajaan dirinya masih hidup. – Gambar NDTV, 8 September, 2022.

SEORANG lelaki tua berusia 102 tahun Duli Chand di Haryana protes terhadap pihak berkuasa susulan pencennya dihentikan pihak berkuasa India.

Kerajaan dikatakan tidak percaya lelaki itu masih hidup hingga menyebabkan pencennya dihentikan pada Mac lalu.

Duli Chand tiba di pejabat kerajaan menaiki kereta kuda berhias dan memakai pakaian seolah-olah raja sehari diiringi kugiran bagi membuktikan dirinya masih hidup lapor media tempatan pada Khamis.

“Pencen tua saya dihentikan pada Mac sebab dalam rekod kerajaan kata saya dah mati.

“Saya dah berkali-kali cuba buktikan saya masih hidup,” katanya.

Salah seorang aktivis Naveen Jaihind yang turut serta dalam perarakan itu berkata dia mendapat tahu masalah lelaki malang itu dan memutuskan untuk membantu.

“Kami cuba tanya beberapa pejabat kerajaan yang berbeza dan adakan sidang media tapi gagal.

“Jadi ini yang kami terfikir untuk dapatkan perhatian dengan berarak macam pengantin,” katanya.

Katanya sejak video perarakan itu viral dia menerima banyak panggilan telefon yang mengatakan ramai lagi yang berdepan nasib sama di Haryana. – AFP,  8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen