KEKALAHAN di tangan jaguh MMA Ben Askren Jumaat lepas hanya menyebabkan Agilan Thani berkobar-kobar untuk berlatih lebih kuat demi merebut satu lagi peluang menjuarai ONE Championship kategori welter.
Dilahirkan di Malaysia, Agilan yang baru berusia 22 tahun cedera ringan di kepala sewaktu pertarungan itu berkata dia tidak sabar untuk kembali berlatih dalam masa seminggu lagi.
“Saya tidak sabar untuk belajar beberapa teknik baru dan kembali kepada tahap kesihatan yang sebetulnya supaya saya boleh berlawan dengan lebih baik dalam pertandingan akan datang.”
Agilan berkata perlawanan seterusnya mungkin akan diadakan pada Ogos nanti menerusi kejohanan One.
“Matlamat saya ialah berusaha untuk mendapatkan tempat di perlawanan itu. Saya perlu memenangi tiga atau empat perlawanan berturutan sebelum saya boleh kembali layak ke kejuaraan merebu takhta kelas welter.
“Saya tidak terlalu mahu cepat menyertai perlawanan kejuaraan yang lain lagi.”
Agilan juga menyeru rakyat Malaysia supaya tidak menjadikan kekalahannya sebagai isu perkauman.
Dia menegaskan yang ia bukanlah isu perkauman dan menyeru peminatnya supaya tidak menimbulkan isu yang mengatakan dia tidak mendapat sokongan kerana dia seorang India.
“Saya keluarkan video itu kerana saya mahu beritahu kepada semua yang saya kalah kerana kesilapan sendiri dan tiada sesiapa yang lain perlu dipersalahkan.
“Bukan kerana saya tidak dapat sokongan yang menyebabkan saya kalah. Sebab saya kalah adalah kerana kesilapan sendiri.
“Bukannya kerana saya tidak berlatih bersungguh-sungguh, saya cuma terima banyak tekanan waktu saya masuk ke dalam perlawanan itu.”
Agilan juga mengucapkan terima kasih kepada peminatnya kerana sokongan mereka serta kepada mereka yang berkongsi videonya di Facebook.
“Jangan timbulkan isu perkauman, kerana akhirnya kita semua sebenarnya hidup dalam negara yang aman damai. Saya tidak mahu orang bergaduh kerana saya. Jadi, semua pihak kena bertenang.
“Saya tahu kisah saya bukanlah hebat sangat, tetapi saya ada matlamat lebih besar. Saya akan cuba yang terbaik untuk menjadi lebih kuat dan menang lebih banyak perlawanan.”
Agilan muncul di siaran langsung Facebook pada Sabtu lepas dengan mata kanannya masih berbalut untuk menyeru rakyat Malaysia supaya terus berpadu.
Katanya tidak adil untuk orang lain mengeluarkan spekulasi liar tentang kerjayanya dan sokongan yang dia terima tanpa memahami keadaan sebenar.
Klip video selama 7:22 minit itu sudah dilihat lebih daripada 203,000 kali dan dikongsi lebih 9,500 kali dengan 24,000 “like”.
Agilan tumpas dalam pusingan pertama merebut kejohanan pertandingan itu apabila Askren menguncinya, memaksa peserta muda itu untuk menyerah kalah.
Agilan berdepan perlawanan getir apabila berdepan dengan Askren,32, yang sudah memenangi 15 kejuaraan dan bekas juara gusti Division I serta bekas pengusti Olimpik.
Rekod Agilan kini dalam tujuh perlawanan ialah menang melalui tiga “knockout” teknikal (TKO), empat menyerah kalah, dan dia kalah satu perlawanan. – 30 Mei, 2017.
Komen