PENYELIDIK menghasilkan dos penggalak baharu bagi vaksin malaria yang mampu memberi perlindungan terhadap penyakit itu selain berharap ia dapat dikeluarkan pada skala besar dan murah dalam beberapa tahun akan datang.
Pasukan penyelidik antarabangsa mencadangkan vaksin dihasilkan Universiti Oxford itu membawa perubahan dalam memerangi penyakit bawaan nyamuk itu.
Wabak yang menjadi ancaman utama di negara membangun dan dunia ketiga itu meragut 627,000 nyawa pada 2020, kebanyakannya kanak-kanak di Afrika.
Tahun lalu, vaksin keluaran syarikat farmaseutikal gergasi United Kingdom (UK) GSK menjadi imunisasi pertama disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk digunakan secara meluas dan kini diagihkan kepada kira-kira sejuta kanak-kanak di Afrika.
Bagaimanapun, kajian mendapati tahap keberkesanan vaksin GSK sekitar 60% dan berkurangan dengan ketara walaupun ditambah dengan dos penggalak.
Sementara itu, tahap keberkesanan vaksin Oxford’s R21/Matrix-M berada pada kadar 77% dalam mengekang malaria, melepasi sasaran 75% ditetapkan WHO.
Untuk kajian itu, seramai 450 kanak-kanak berusia antara lima dan tujuh tahun di Burkina Faso diberikan tiga dos vaksin itu pada 2019.
Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan, dua daripadanya menerima dos Matrix-M iaitu vaksin yang dipatenkan oleh Novavax manakala kumpulan ketiga menerima vaksin rabies.
Menjelang musim hujan pada 2020 ketika kes malaria meningkat, seramai 409 kanak-kanak terbabit kembali mendapatkan dos penggalak.
Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases bagi kumpulan yang menerima dos tertinggi, dos penggalak itu meningkatkan tahap perlindungan sehingga 80% manakala dos terendah, keberkesanannya hanya pada kadar 70%.
Kajian itu turut menyebut dos penggalak itu mengembalikan tahap antibodi kepada kadar sama seperti selepas menerima dos pertama. – AFP, 8 September, 2022.
Komen