SEORANG wanita Amerika Syarikat (AS) dibunuh oleh ikan jerung ketika melakukan aktiviti selam snorkel di Bahamas ketika kapal persiaran dinaiki berhenti sebentar, kata pihak berkuasa.
Wanita berusia 58 tahun dari Pennsylvania itu diserang petang Selasa lalu di perairan Green Cay, berhampiran Nassau, ibu kota Bahamas, menurut polis.
“Pengendali agensi pelancongan yang berada bersama ahli keluarga itu cuba menyelamatkan mangsa.
“Namun tidak berjaya, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kiri tubuhnya.”
Ketika dibawa ke darat, paramedik mendapati mangsa tiada nadi.
Lima sekeluarga itu tiba di Bahamas pada Selasa sebagai sebahagian daripada percutian tujuh hari menaiki kapal persiaran Harmony of the Seas milik Royal Caribbean International.
Keluarga itu menyertai program bebas di pantai yang bukan dianjurkan kapal persiaran itu.
Royal Caribbean yang mengesahkan kematian itu berkata syarikat itu memberikan sokongan dan bantuan kepada keluarga mangsa.
Pada 2019, seorang wanita muda warga AS maut selepas diserang tiga jerung ketika keluarganya melakukan aktiviti menyelam di kawasan sama di Bahamas. – AFP, 8 September, 2022.
Komen