10 maut insiden bangunan runtuh di Aleppo


Bangunan setinggi lima tingkat runtuh di kawasan Ferdaws di Aleppo semalam menyebabkan 10 terbunuh. – Gambar AFP, 8 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 10 terbunuh apabila sebuah bangunan runtuh di Aleppo, utara Syria semalam, menurut media rasmi.

“Mayat enam wanita, tiga kanak-kanak dan seorang lelaki ditemui manakala seorang wanita bersama seorang kanak-kanak diselamatkan dari timbunan runtuhan serta dibawa ke hoispital,” menurut agensi berita SANA.

Bangunan setinggi lima tingkat itu runtuh di kawasan Ferdaws di Aleppo.

Komander polis, Mejar Jeneral Deeb Deeb memberitahu SANA pasukan pertahanan awam dan pihak berkuasa tempatan sudah memindahkan penduduk dari bangunan bersebelahan dan mula membersihkan sisa runtuhan.

Bangunan itu runtuh dipercayai kerana kekurangan asas kejuruteraan yang kukuh pada tapak pembinaannya, lapor SANA memetik ketua majlis perbandaran Aleppo, Maad Medlaji.

Katanya, ia terletak di kawasan di mana pembinaan rumah dilakukan secara haram dan banyak kediaman musnah akibat “serangan pengganas”, merujuk kepada perang saudara yang masih berlarutan.

Badan pemantau perang, Pemantau Hak Asasi Manusia Syrian berkata bangunan yang runtuh itu terletak di kejiranan yang sebelum ini dibom dan dihujani peluru berpandu.

Konflik di Syria yang bermula pada 2011 setakat ini meragut hampir setengah juta nyawa dan menyebabkan hampir separuh penduduk negara itu melarikan diri dari rumah masing-masing. – AFP, 8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen