Mesir lapor kes cacar monyet pertama


Di seluruh dunia, 18 kematian direkodkan akibat cacar monyet sejak Mei lalu. – Gambar EPA, 8 September, 2022.

MESIR merekodkan kes pertama cacar monyet membabitkan seorang lelaki yang kerap melakukan perjalanan ke Eropah, menurut Kementerian Kesihatan negara itu semalam.

“Kes pertama cacar monyet dikesan di Mesir iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun yang memiliki permit pemastautin di sebuah negara Eropah yang kerap beliau kunjungi,” katanya.

Pihak berkuasa negara Arab berpenduduk paling ramai itu berkata lelaki berkenaan kini diasingkan di hospital.

Lewat bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penyakit berkenaan, yang lazimnya tidak membawa maut, dikesan di tujuh negara di Asia Barat.

Kes cacar monyet juga dilaporkan meningkat sejak Mei lalu di Barat dan Tengah Afrika, di mana ia adalah penyakit endemik.

WHO mengeluarkan amaran kecemasan peringkat tertinggi pada 24 Julai lalu, mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam membabitkan kebimbangan antarabangsa, sama seperti Covid-19.

Penyakit terbabit menyebabkan kesan lepuhan yang menyakitkan dan meninggalkan parut terutama pada bahagian muka, dubur, dan alat kelamin.

Di seluruh dunia, 18 kematian direkodkan akibat cacar monyet sejak Mei lalu.

Lebih 50,000 kes jangkitan direkodkan pada peringkat global, walaupun jangkitan semakin berkurangan di tompok panas virus di Eropah serta Amerika Syarikat. – AFP, 8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen