2 maut, 6 cedera kren tumbang di Hong Kong


Tinjauan wartawan AFP di tempat kejadian kren tersebut jatuh ke atas beberapa kontena kargo yang digunakan sebagai pejabat sementara. – Gambar EPA, 7 September, 2022.

DUA lelaki maut manakala enam lagi mangsa cedera selepas kren tumbang di sebuah tapak pembinaan di Kowloon, Hong Kong hari ini.

Pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus untuk mengeluarkan seorang lagi pekerja daripada serpihan itu.

Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.

Tinjauan wartawan AFP di tempat kejadian melihat beberapa pekerja daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat sekitar bandar itu mengelilingi kren menara yang tumbang itu.

Kren tersebut jatuh ke atas beberapa kontena kargo yang digunakan sebagai pejabat sementara.

Pegawai Bomba Yim Ying-kit berkata, kren tersebut digunakan ketika ia tumbang sejurus sebelum jam 11 pagi (waktu Hong Kong) tetapi tidak membawa sebarang muatan pada masa itu.

Yim berkata, beberapa pekerja binaan berada di dalam kontena kargo ketika kren itu tumbang ke atas mereka.

Enam pekerja yang cedera dikejarkan ke hospital sejurus selepas kemalangan itu, tetapi seorang lelaki masih terperangkap dalam serpihan kren.

“Kami hanya dapat melihat bahagian bawah badannya, dan dia tidak bertindak balas apabila kami cuba berkomunikasi dengannya,” kata Yim.

“(Kren) agak berat jadi kami memerlukan pelbagai alat dan penilaian risiko sebelum kami dapat menyelamatkan pekerja yang terperangkap.”

Selepas memeriksa tapak itu, Setiausaha Buruh dan Kebajikan Chris Sun memberitahu pemberita terdapat masalah jelas dengan pangkalan kren itu dan mengarahkan kerja-kerja pembinaan ditapak berkenaan digantung.

Pemimpin Hong Kong John Lee berkata jabatan buruh akan menyiasat kejadian itu dan memeriksa sama ada tapak pembinaan menggunakan kren yang sesuai bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan. – AFP, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen